ANALISIS
DARIPADA 24 Parlimen di Perak, sekurang-kurangnya tujuh kerusi menyaksikan peluang seimbang semua parti yang bertanding pada PIlihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) terutama di empat kerusi lompat apabila penyandangnya menyertai parti lain selepas PRU14.
Pada PRU14, Barisan Nasional (BN) menang 11 kerusi Parlimen di negeri ini iaitu Bagan Datuk, Kampung Gajah, Tapah, Gerik, Lenggong, Parit, Padang Rengas, Bagan Serai, Bukit Gantang, Kuala Kangsar dan Larut.
Namun, tiga ahli Parlimennya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali.
DAP pula menang semua tujuh kerusi Parlimen yang ditandinginya iaitu Ipoh Timor, Ipoh Barat, Kampar, Batu Gajah, Teluk Intan, Beruas dan Taiping.
PKR menang tiga kerusi Parlimen iaitu Sungai Siput, Gopeng dan Tanjung Malim manakala Amanah menang dua Parlimen iaitu Parit Buntar dan Lumut.
Daripada tujuh kerusi yang dimenangi tiga parti dalam Pakatan Harapan (PH) itu, hanya Parlimen Tambun menyaksikan perubahan parti oleh ahli Parlimennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu apabila Bersatu sertai Perikatan Nasional (PN).
Selepas penamaan calon Sabtu lalu, analisis mendapati peluang parti bertanding untuk menang di tiga kerusi lompat melibatkan kerusi BN iaitu Parlimen Larut, Bagan Serai dan Bukit Gantang tampak seimbang. Namun persaingan di ketiga-tiga kerusi itu lebih tertumpu antara BN dan PN.
Saingan di Parlimen Larut tetap sengit meskipun penceramah bebas terkenal, Datuk Kazim Elias menarik diri sebagai calon BN untuk berdepan Hamzah sebaliknya, calon muda Mohd. Shafiq Fhadly Mahmud diletakkan oleh BN untuk merampas kerusi Parlimen itu.
Hamzah yang menang PRU14 dengan majoriti 4,486 undi berdepan sentimen pengundi terhadap tindakannya meninggalkan BN. Ini jelas ketika hari penamaan calon pada Sabtu lalu apabila beliau disorakkan ‘katak’ dan ‘pengkhianat’ oleh penyokong parti lawan kepadanya.
Mohd. Syafiq Fhadly boleh cipta kejutan dengan sokongan undi akar umbi UMNO yang setia kerana Larut sememangnya kubu BN. Ini menjadikan peluang BN dan PN seimbang.
Hamzah dan Mohd. Syafiq Fhadly berdepan saingan Auzaie Fadzlan Shahidi (GTA), Zolkarnain Abidin (PH) dalam saingan empat penjuru di Larut.
Di Parlimen Bagan Serai pula, PN terpaksa mengetepikan penyandangnya, Noor Azmi sebaliknya digantikan dengan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad bagi mengelak isu lompat parti terus dimainkan oleh BN.
BN mempertaruh bekas Ketua Penolong Pengarah Sains di Jabatan Tenaga Atom, Zul Helmi Ghazali di Bagan Serai manakala PH mencalonkan Siti Aishah Shaik Ismail dan GTA diwakili Ahmad Luqman Ahmad Yahaya.
PN dilihat ada kelebihan di Bagan Serai apabila isu lompat parti mungkin tidak berkesan dijadikan isu oleh BN kerana PN tidak lagi mencalonkan Noor Azmi.

Satu lagi kerusi lompat, Parlimen Bagan Serai menyaksikan PN dan BN bersaing hebat apabila penyandangnya, Syed Abu Hussin dicabar Ketua Pemuda UMNO Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie.
Rekod gerak kerja di lapangan yang baik menjadi kelebihan buat Syed Abu Hussin untuk kekal di situ namun beliau pastinya terus berdepan dengan isu lompat parti.
Saingan satu lagi kerusi lompat di Parlimen Tambun yang tentu sengit di antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Faizal Azumu.
Anwar awal-awal lagi menegaskan bertanding di Tambun kerana Parlimen itu adalah kerusi PH yang dikhianati apabila Ahmad Faizal menyertai PN. Kempen Anwar semakin rancak selepas penamaan calon.
Dari segi geografi, tidak sukar untuk calon baharu seperti Anwar berkempen dan bertemu pengundi walaupun Tambun Parlimen paling ramai pengundi, iaitu seramai 159, 775 orang.
Ia adalah kawasan padat dan akses yang mudah untuk ke mana-mana termasuk di kawasan-kawasan kampung.
Saingan kedua-dua mereka masih tampak seimbang walaupun kempen Anwar dilihat lebih rancak dan menarik kehadiran lebih ramai pengundi.
Namun, peluang BN tidak boleh diketepikan kerana Tambun kubu kuat UMNO sebelum kalah pada PRU14.
Selain faktor calon tempatan, calon BN, Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah bukan calang-calang. Beliau adalah bekas ADUN Hulu Kinta dan Setiausaha UMNO Perak.
Rata-rata pengundi tempatan sudah mengenali beliau atas khidmatnya sebagai ADUN iaitu sebelum kalah kepada calon PKR, Muhamad Arafat Varisai Mahamad pada PRU14.
Sementara itu BN tiada masalah mengekalkan kerusi tradisi luar bandar majoriti Melayu iaitu Gerik, Lenggong, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Parit, Pasir Salak dan Bagan Datuk.
DAP juga selesa untuk terus mengekalkan kerusi tradisi kawasan bandar majoriti Cina iaitu Ipoh Timor, Ipoh Barat, Batu Gajah, Teluk Intan, Taiping dan Beruas selain Amanah dijangka mengekalkan kerusi Parit Buntar.
Namun, kali ini lain-lain kerusi PH dilihat sudah mampu dicabar oleh BN seperti di Gopeng apabila BN meletakkan calon muda, Cally Ting yang mendapat sokongan kuat daripada UMNO bahagian Gopeng.
Sepanjang seminggu kempen, Cally Ting jelas diterima oleh pengundi termasuk pengundi Cina, satu petanda baik untuk Cally, 32, yang merupakan Naib Ketua MCA Bahagian Gopeng merampas semula Parlimen Gopeng selepas 15 tahun.
BN juga berpeluang merebut kembali Parlimen Lumut daripada Amanah apabila mencalonkan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menentang penyandangnya, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli.
Selepas kalah pada PRU15, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon sekali lagi dicalonkan untuk merampas kerusi Tanjung Malim yang disandang Pengerusi PKR Perak, Chang Lih Kang.
Namun saingan calon Bebas, Datuk Jamaluddin Mohd. Radzi tidak boleh diketepikan kerana bekas ADUN Behrang (PKR) itu ada pengaruh yang kuat di Tanjung Malim selain faktor beliau sebagai calon Melayu. – UTUSAN










