Pekebun kecil rugi, gajah musnahkan kebun sawit

Pekebun kecil rugi, gajah musnahkan kebun sawit

BEBERAPA pekebun kecil melihat sebahagian daripada kebun sawit yang diusahakan mereka musnah selepas diserang gajah di Bandar Baru Cheneh, Kemaman, Terengganu,semalam. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Kira-kira 20 pekebun kecil di Bandar Baru Cheneh, dekat sini berputih mata selepas tanaman kelapa sawit dan pisang yang diusahakan mereka musnah akibat diserang sekumpulan gajah, Selasa lalu.

Dalam kejadian awal pagi itu, lebih 700 batang pokok kelapa sawit berusia setahun hingga lima tahun, pokok kelapa dan pisang yang sedia untuk dituai musnah menyebabkan mereka kerugian puluhan ribu ringgit.
Pekebun, Ramli Jusoh, 63, berkata, hatinya hancur melihat keadaan kebunnya yang berselerak dengan najis gajah selain pokok kelapa sawit dan kelapa yang diusahakan sejak lima tahun lalu musnah.

“Sebaik sahaja melangkah masuk kebun, ‘lembik’ lutut saya lihat keadaan kebun yang musnah. Luluh hati tengok tanaman yang saya usahakan sejak lima tahun lalu hancur.

“Lebih sedih, ada antara tanaman saya yang hanya tunggu masa untuk dipetik. Namun, tak ada rezeki saya untuk menikmati hasil titik peluh sendiri,” katanya ketika ditemui di kebunnya di Bandar Baru Cheneh di sini, semalam.

Ramli berkata, dia yang menghabiskan modal ribuan ringgit buntu untuk memulakan semula tanaman tersebut.

Seorang lagi pekebun, Adnan Mohamad, 65, berkata, ancaman gajah tersebut menyebabkan pekerja ladang kini sentiasa berhati-hati dan bimbang dengan kehadiran haiwan berkenaan.

“Sekarang memang kami takut untuk masuk ladang. Bimbang kalau terserempak dengan haiwan liar ini ,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian dan sedang membuat pemantauan serta akan mengambil tindakan segera.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN