KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerui Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hadir memasuki kediaman Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kenderaan membawa Timbalan Presiden Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tiba pada pukul 9.25 pagi di perkarangan Jalan Setia Bakti 2, Bukit Damansara, di sini.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Peja sempat menurunkan tingkap keretanya dan bertegur sapa dengan pengamal media yang menunggu di sini.
Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Tambun itu tidak memaklumkan sebarang tujuan apabila hadir di sini.
“Semalam makan kenyang tak?..ehh tanya Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dia tengok wayang semalam cerita apa, seronak tak
“Kita tak tengok wayang, kita munajat..tak makan ‘popcorn’,” katanya berseloroh.
Terdahulu, perkarangan rumah Muhyiddin terus menjadi tumpuan susulan kemelut pembentukan negara hari kelima selepas pilihan raya umum.
kerajaan baharu masih gagal dibentuk walaupun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selesai Sabtu lalu ekoran tiada parti yang mendapat undi majoriti mudah 112 bagi membentuk kerajaan.
Sementara itu, satu Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja diadakan hari ini bagi membincangkan pelantikan Perdana Menteri Ke-10.
Perbincangan khas itu bertujuan untuk Seri Paduka mendapat pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi Baginda membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat.-UTUSAN
Habis