Mukadimah
PADA Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Gerakan Tanah Air (GTA)-Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menampilkan calon wanita, NORAISAH HASAN bertanding di Parlimen Dungun. Keputusan GTA-Pejuang mengejutkan banyak pihak kerana selama ini parti-parti politik yang bertanding di Terengganu masih tidak yakin mempertaruh calon wanita di kerusi Parlimen.
Bagaimanapun ,anak tempatan dari Kampung Seberang Pintasan, Dungun ini sedia menyahut cabaran tersebut setelah dicalonkan bertanding dalam PRU15 di Parlimen Dungun.Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZAID MOHD. NOOR, usahawan muda itu berkongsi pandangan mengenai cabaran dan penerimaan pengundi terhadap calon wanita.
UTUSAN: Saudari adalah calon tunggal wanita yang bertanding di kerusi Parlimen Terengganu. Adakan saudari yakin dapat bersaing dengan calon lelaki daripada parti-parti lain?
Adakan saudari yakin dapat bersaing dengan calon lelaki daripada parti-parti lain?
NURAISAH: Saya anggap pemilih saya sebagai calon Pejuang pada PRU15 sebagai rezeki. Walaupun sebagai seorang wanita, saya percaya mampu memberi saingan sengit kepada calon-calon lelaki dan diterima oleh pengundi di Parlimen Dungun. Saya menerima tawaran bertanding kerana mahu membantu rakyat. Menang atau kalah saya akan terus membantu rakyat seperti sebelum ini.
Bagaimana penerimaan di pengundi di Parlimen Dungun terhadap calon wanita?
Saya dapati pengundi mula menerima calon wanita walaupun pada peringkat awal terdapat dalam kalangan mereka tidak yakin terhadap kemampuan calon wanita. Sebahagian pengundi masih menganggap golongan wanita tidak sesuai menjadi wakil rakyat di peringkat Parlimen dan saya mahu mengubah tanggapan tersebut dalam kalangan pengundi.
Bagaimana sokongan yang diterima oleh saudari sejak berkempen pada 5 November lalu?
Alhamdulillah saya mendapat sokongan yang membanggakan khususnya pengundi wanita. Mereka mahu calon wanita memenangi PRU15 untuk memudahkan berurusan berbanding calon lelaki. Ini kerana, kebanyakan pengundi wanita tidak rapat dan mesra dengan wakil rakyat lelaki dan sukar kepada mereka untuk meluahkan masalah dihadapi.
Apakah antara kempen yang dijalankan bagi memperkenal diri saudari sebagai calon GTA-Pejuang?
Jadual kempen memang padat setiap hari, kalau boleh saya mahu berjumpa dengan seramai mungkin pengundi dalam tempoh dua minggu ini. Sejak awal kempen, saya berkunjung di pasar malam, pasar pagi, kedai makan dan tempat-tempat tumpuan orang ramai serta menziarahi penduduk dari rumah ke rumah.
Bagaimana dengan sokongan yang diterima oleh saudari menjelang hari pengundian pada 19 November ini?
Saya bertanding atas tiket GTA-Pejuang. Kebanyakan pengundi telah mengenali dan menyokong Pejuang yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Saya percaya masih ramai pengundi yang masih menaruh keyakinan terhadap Tun Mahathir untuk kembali menerajui negara dengan memberi sokongan kepada Pejuang termasuk di Parlimen Dungun. –UTUSAN