JERLUN: Penyandang kerusi Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir secara sinis ‘menyambut baik’ kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengenai dirinya yang didakwa tidak berpeluang mengekalkan kerusi tersebut.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, kenyataan sedemikian jelas menunjukkan bahawa Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu memiliki keyakinan terlalu tinggi yang tidak berasas.
Katanya, tindakan Menteri Besar itu tidak lebih daripada muslihat untuk mengumpulkan undi daripada pihak-pihak yang sememangnya mahu menolak Barisan Nasional (BN) kepada PN.
“Muslihat beliau mudah dibaca kerana sedar masyarakat mahu tolak UMNO dan BN pada pilihan raya umum (PRU) kali ini. Jika beliau berjaya tunjukkan kepada pengundi bahawa pilihan cuma ada dua iaitu PN dan BN, maka sudah tentu PN yang menang kerana pengundi mahu tolak BN.
“Namun hakikatnya di Jerlun ini pilihan bukan hanya ada dua sebaliknya empat. Daripada empat itu tiga dianggap sebagai calon heavyweight iaitu saya selaku penyandang, Datuk Othman Aziz yang mewakili BN dan calon PN, Dr. Abd. Ghani Ahmad.
“Itu saja strateginya. Tetapi walau apa pun yang beliau katakan, saya yakin mampu untuk terus menjadi Ahli Parlimen di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Dalam ceramah di Jerlun kelmarin, Muhammad Sanusi berkata, saingan di situ kini hanya melibatkan PN dan BN memandangkan Pejuang serta Pakatan Harapan (PH) tidak memiliki peluang untuk menang di situ.
Justeru kata Muhammad Sanusi, penyokong Pejuang dan PH perlu memberi undi mereka kepada PN bagi menghentikan usaha menghentikan BN daripada memerintah negara.
Mengulas lanjut Mukhriz berkata, antara faktor yang mampu membantunya untuk menambat hati pengundi adalah keakraban antara dirinya yang sudah dua penggal menjadi Ahli Parlimen di situ dengan masyarakat setempat.
“Masyarakat di sini sudah mengenali dan tahu kerja yang dilaksanakan selama ini. Walaupun saya tampil menggunakan lambang baharu dalam PRU15, tetapi rasanya keakraban saya dengan masyarakat Jerlun akan menentukan bahawa kita mampu menambat hati rakyat di sini.
“Jadi saya optimis bahawa peluang untuk kekal sebagai Ahli Parlimen di sini sangat tinggi. Begitu pun saya mesti terus bekerja keras jumpa seramai mungkin pengundi di sini dan saya pun tak pernah peduli apa yang Muhammad Sanusi cakap,” katanya. – UTUSAN










