KUALA LUMPUR: Kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Velfire dipercayai membawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat meninggalkan kediamannya di Bukit Antarabangsa, di sini, pagi ini.
Bagaimanapun kenderaan yang meninggalkan kediaman bekas Perdana Menteri itu sekitar pukul 10 pagi itu tidak diketahui hala tujunya
Kenderaan yang diiringi pengawal itu juga tidak menurunkan cermin keretanya meskipun pengamal media melaung nama Muhyiddin.
Sementara itu, tiada sebarang pergerakan masuk dan keluar kenderaan lain selain MPV Toyota Velfire dinaiki Muhyiddin di sini sejak pukul 8 pagi tadi.
Semalam media melaporkan, teka-teki siapa yang bakal dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10 masih belum terjawab.
Yang di-Pertuan Agong kemudiannya menitahkan 30 Ahli Dewan Rakyat daripada Barisan Nasional menghadap secara individu di Istana Negara, 10.30 pagi ini. –UTUSAN