Muhyiddin angkat sumpah Perdana Menteri petang ini?

Muhyiddin angkat sumpah Perdana Menteri petang ini?

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara dalam satu majlis kira-kira pukul 4 petang ini. 

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau dimaklumkan terdapat sekurang-kurangnya 18 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyatakan kesediaan bersama PN dan menyokong Muhyiddin. 

Katanya, senarai nama individu tersebut akan melalui beberapa prosedur dan perlu dihantar ke Istana Negara sebelum pukul 2 petang dan bakal disusuli dengan Majlis Angkat Sumpah Perdana Menteri pada pukul 4 petang. 

“Saya harap semua pakat berdoa semoga senarai nama yang perlu dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum 2 petang, dapat diserahkan dan selepas itu, Majlis Angkat Sumpah Perdana Menteri daripada PN insya-Allah akan berlaku pukul 4 petang. 

“Doakan supaya semua ini berjalan dengan sempurna seperti diharapkan untuk kita bawa negara ini menjadi prihatin, bersih dan stabil,” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran PN Kedah di Kompleks Pas Kedah, malam tadi.

Terdahulu dalam ucapan sama, Muhammad Sanusi berharap ahli serta pimpinan UMNO membuat desakan terhadap Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak meneruskan hasrat membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, perkara itu perlu ditentang oleh ahli UMNO sendiri ketika Ahmad Zahid dilihat cuba mengheret kesemua 30 ahli Parlimen BN agar bersama PH bagi menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. 

Dakwanya, Ahmad Zahid dalam apa keadaan sekali pun mahu memastikan dirinya terselamat daripada kes-kes mahkamah seperti dijanjikan Anwar dan atas sebab itu beliau mahu memastikan kesemua 30 ahli Parlimen BN menyokong Anwar.  

Tambahnya, sebahagian daripada pengundi yang memberi sokongan kepada PN untuk meraih kemenangan besar adalah ahli UMNO sendiri yang tidak mahu melihat parti itu jauh tersasar di bawah Ahmad Zahid.

“Ahmad Zahid sedang mengheret UMNO untuk melanggar ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) iaitu ‘No Anwar, No DAP’. Bahaya melibatkan Anwar, DAP dan fahaman-fahaman dikendong perjuangan mereka sudah disebut banyak kali sebelum ini. 

“Jadi kalau ahli-ahli UMNO terus merestui tindakan Presiden mereka untuk memaksa ahli Parlimen BN menubuhkan kerajaan bersama PH, maknanya mereka akan jadi pengkhianat terbesar dalam sejarah umat Islam di negara ini,” katanya.  

Dalam sidang akhbar selepas itu, Muhammad Sanusi berkata, setiap ahli Parlimen BN yang menyatakan sokongan kepada Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri tidak akan terkesan dengan sebarang tindakan daripada Akta Anti Lompat Parti. 

“Mereka tak perlu melompat parti untuk nyatakan sokongan kepada Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri. Kalau mereka dipecat pun, jawatan sebagai ahli Parlimen tak akan hilang kerana mereka bukannya melompat ke parti lain.

“Pada dasarnya, mereka tak perlu keluar daripada BN untuk menyatakan sokongan kepada Muhyiddin dan tindakan tersebut tak akan beri kesan apa-apa dalam Akta Anti Lompat Parti,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya