Maslin harap Mastura bantu kempen BN di Kuala Kangsar

Maslin harap Mastura bantu kempen BN di Kuala Kangsar

MASLIN Sham Razman pada majlis pengumuman calon PRU-15 Barisan Nasional Perak di Ipoh, Perak, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penyandang Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang digugurkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Datuk Mastura Mohd. Yazid diharap dapat turun membantu kempen Barisan Nasional (BN) dalam mengekalkan kemenangan kerusi itu dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya iaitu Manong dan Chandan.

Permintaan itu disuarakan oleh calon BN parlimen tersebut yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Maslin Sham Razman.

Beliau percaya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebagai ‘orang parti’ mengutamakan BN dalam segala tindakannya sekali gus mengekalkan kepercayaan rakyat Parlimen itu terhadap parti tersebut.

“Saya mengucapkan terima kasih terhadap sumbangan diberikan sepanjang menjadi ahli Parlimen. Ia adalah satu budaya dan iltizam untuk sama-sama memastikan BN terus menang di Parlimen ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman calon BN Perak di sini, hari ini.

Sementara itu, calon BN bagi DUN Pasir Panjang, Mohd. Rafiq Mohd bersyukur kepemimpinan negeri memberi peluang kepada golongan muda menjadi calon walaupun mengakui kerusi yang ditandinginya itu agak ‘panas’.

DUN Pasir Panjang sebelum ini secara tradisi dimenangi BN sebelum tumpas pertama kali kepada calon Pas yang kemudian menjadi Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Nizar Jamaluddin pada 2008, kemudian dimenangi BN semula melalui Datuk Rashidi Ibrahim pada 2013 dan beralih pula kepada Amanah menerusi Yahaya Mohd. Nor pada 2018.

Mohd. Rafiq yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lumut berusia 38 tahun mahu membuktikan bahawa golongan muda boleh membawa kejayaan kepada BN walaupun beliau difahamkan berdepan pertembungan sekurang-kurangnya lima penjuru di DUN tersebut.

“Berdasarkan tinjauan di lapangan, cabaran utama di DUN ini adalah memenuhi kehendak orang muda kerana 60 peratus daripada lebih 62,000 pengundi ialah golongan muda dengan 70 peratus adalah pengundi Melayu,” jelas pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.

Dalam pada itu, Bendahari UMNO Bahagian Lumut, Datuk Norzaman Man, 60, yang bertanding buat pertama kali di DUN Pangkor menyifatkan tanggungjawab berat untuk mengekalkan kemenangan BN di situ.

Kerusi DUN Pangkor dimenangi oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, selama empat penggal sejak 2004 dan pada PRU-15 bertanding di Parlimen Lumut.

Menurut beliau, pengaruh yang dimiliki Zambry dibantu dua calon muka baharu diharap dapat memastikan kemenangan BN di parlimen tersebut dan dua DUN yang terdapat di situ. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya