Malaysia, Hungary kukuh kerjasama dalam pendidikan tinggi - Utusan Malaysia

Malaysia, Hungary kukuh kerjasama dalam pendidikan tinggi

Dr. Noraini Ahmad (enam dari kiri) dan Dr. Petra Ponevacs-Pana (enam dari kanan) bergambar bersama kakitangan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kedutaan Hungary selepas menandatangani MoU di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Hungary terus memperkukuhkan kerjasama dua hala dalam sektor pendidikan tinggi dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang mengkhususkan kepada penawaran biasiswa oleh kerajaan Hungary kepada warganegara Malaysia.

Menerusi MoU itu kerajaan Hungary akan menawarkan 40 biasiswa secara tahunan mulai 2022 hingga 2024 kepada warganegara Malaysia yang ingin melanjutkan pengajian di negara itu.

Dalam majlis menandatangani MoU itu Malaysia di wakili oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sementara Hungary oleh Dutanya ke Malaysia, Dr. Petra Ponevacs-Pana.

Ia disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Timbalan Ketua Misi Hungary ke Malaysia, Dr. Aniko Farkas

Menjelaskan lebih lanjut, Dr. Noraini berkata, sebanyak 20 biasiswa diperuntukkan di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan One-Tier Masters (OTM) bagi bidang pengajian aliran Sains manakala 10 biasiswa diperuntukkan di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan OTM bagi bidang aliran Sastera.

Selain itu katanya, sebanyak 10 biasiswa diperuntukkan di peringkat Ijazah Kedoktoran yang mana enam biasiswa adalah bagi aliran sains dan empat bagi aliran sastera.

“Melalui MoU itu, Belgium akan menawarkan Biasiswa Stipendium Hungaricum. MoU ini akan menjadi pemangkin kepada hubungan kerjasama yang lebih erat dan berfokus antara kedua-dua negara.

Dr. Noraini Ahmad (kiri) dan Dr. Petra Ponevacs-Pana bertukar dokumen selepas menandatangani MoU di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Biasiswa ini meliputi yuran pengajian, elaun sara hidup, penginapan serta insurans kesihatan,” katanya.

Dr. Noraini memberitahu, Biasiswa Stipendium Hungaricum secara tahunan telah diperkenalkan pada tahun 2013 oleh kerajaan Hungary dengan tujuan mengukuhkan hubungan dua hala antara Hungary dengan negara rakan kerjasama yang terdiri daripada benua Afrika, Asia, Amerika Latin dan Eropah Timur di samping mempromosikan pengantarabangsaan pendidikan tinggi Hungary melalui penawaran biasiswa kepada pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT) Hungary.

“Sebanyak 28 IPT Hungary terlibat dalam penawaran biasiswa di bawah Biasiswa Stipendium Hungaricum bagi sesi kemasukan 2021/ 2022 dan sebanyak 49,378 permohonan diterima dari seluruh dunia iaitu sebanyak 27,954 permohonan adalah dari rantau Asia; 15,701 permohonan dari Afrika; 3,983 permohonan dari Eropah dan 1,740 permohonan dari Amerika Tengah dan Selatan.

“Malaysia merupakan salah sebuah negara yang telah menerima manfaat program ini bersama-sama 78 buah negara di seluruh dunia yang turut bekerjasama dengan kerajaan Hungary menerusi pemeteraian perjanjian di peringkat hubungan dua hala yang berkuatkuasa pada tahun 2018 sehingga 2021.

“Sepanjang tempoh empat tahun itu, sejumlah 160 biasiswa telah ditawarkan (40 biasiswa secara tahunan). Daripada 160 biasiswa yang telah ditawarkan, sebanyak 137 warganegara Malaysia telah memenuhi syarat yang ditetapkan dan telah menerima tawaran Biasiswa Stipendium Hungaricum,” katanya.

Katanya, permohonan Biasiswa Stipendium Hungaricum bagi tahun akademik 2023 akan dibuka kepada orang ramai pada pertengahan bulan November 2022. Maklumat lanjut mengenai biasiswa ini boleh didapati di laman web rasmi https://apply.stipendiumhungaricum.hu/ – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya