Kos tinggi punca rakyat di luar negara tidak mengundi?

Kos tinggi punca rakyat di luar negara tidak mengundi?

Kos pos yang tinggi untuk undi pos dikatakan antara punca rakyat Malaysia di luar negara tidak minat mengundi kali ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kos tinggi yang perlu ditanggung sendiri bagi menghantar semula kertas undi pos dipercayai menjadi punca utama rakyat Malaysia di luar negara memilih tidak menunaikan tanggungjawab selaku pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagi rakyat Malaysia di United Kingdom (UK) dan Ireland umpamanya, mereka perlu menanggung kos sebanyak 30 pound (RM164) seorang untuk tujuan menghantar semula kertas undi pos ke Malaysia yang dianggap membebankan, sekali gus memilih tidak mengundi.

Ketika ini, dianggarkan terdapat 35,000 rakyat Malaysia berada di UK selain 3,500 di Ireland. Antara perkhidmatan pos yang digunakan ialah Royal Mail dan UK Mail.

Selain itu, ada beranggapan proses pengundian itu menyu­litkan mereka kerana pejabat kedutaan Malaysia di luar negara berada jauh daripada kediaman masing-masing, di samping sibuk dengan urusan kerja hakiki di luar negara.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Jurucakap Badan Per­hubungan Negara United Kingdom dan Eire (BPN UKE), Iman Irfan Yahya berkata, pi­haknya bekerjasama dengan beberapa organisasi pelajar di UK dan Ireland mewujudkan kumpulan khas yang dinamakan Vote Malaysia UKE untuk mengurangkan kos menghantar semula kertas undi pos sa­ngat tinggi.

Katanya, antara persatuan pelajar terlibat ialah Education Malaysia, United Kingdom dan Eire Council for Malaysian Students (UKEC), Perikatan Glo­bal Pelajar Malaysia (MSGA), Demokratik UKE, DAP UKE, Pertubuhan Ikram (Ikram) UKE dan Kesatuan Penuntut Undang-Undang Malaysia di UK dan Eire (KPUM).

Vote Malaysia UKE membuka 51 pusat pengumpulan undi pos di sekitar UK dan Ireland pada 15 November bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang. Semua kertas undi dikumpulkan di Malaysian Hall London dan dua wakil kami pulang ke Malaysia bersama-sama kertas undi tersebut.

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Malaysia Airlines yang menaja dua tiket penerbangan pulang ke Malaysia pada 17 November ini, sekali gus mempermudahkan rakyat Malaysia mengundi secara percuma, jika tidak, kami terpaksa menanggung sendiri kos pos,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas proses pengundian rakyat Malaysia di luar negara dan juga punca yang menyebabkan ada segelintir mereka yang memilih untuk tidak menunaikan tanggungjawab se­laku pe­ngundi pada PRU15.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan, keba­nyakan rak­yat Malaysia di luar negara mengambil sikap tidak peduli untuk menunaikan tanggungjawab selaku pengundi pada PRU15 pada 19 November ini. Untuk rekod, hanya 17,000 da­ripada 3.15 juta rakyat negara ini di luar negara mendaftar undi pos.

Ditanya tentang ketelusan kaedah membawa pulang sendiri kertas undi ke Malaysia, Iman Irfan berkata, Vote Malaysia UKE yakin usaha ber­kenaan dilakukan secara te­lus kerana pihaknya juga mempunyai compliance policy dan pemerhati bebas.

Dalam pada itu, Pengerusi Biro Antarabangsa, Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperbaiki sistem undi pos de­ngan mengaplikasi kemudahan teknologi semasa yang lebih canggih dan fleksibel.

Ini kerana katanya, terdapat aduan daripada rakyat negara ini termasuk pelajar-pelajar Malaysia di luar negara yang mendakwa belum menerima kertas undi pos masing-masing sedangkan hari pengundian berbaki lima hari sahaja lagi, sekali gus dikhuatiri tidak sempat sampai ke Malaysia.

“Isu kelewatan undi pos se­ring berulang setiap kali musim pilihan raya. Ia juga bukanlah suatu perkara baharu. Sehubungan itu, SPR dan pihak yang bertanggungjawab dalam soal ini perlu berbuat sesuatu untuk memperbaiki kelemahan sistem pengundian pos sedia ada.

“SPR seharusnya menggunakan kelebihan teknologi canggih masa kini dengan menghapuskan keperluan men­cetak kertas undi, Borang 2 dan sampul,” katanya.

Kaedah terbaik, katanya, SPR perlu membenarkan pengundi pos yang telah lulus untuk memuat turun dokumen versi PDF daripada akaun MySPR, ia secara tidak langsung menjimatkan lima hingga 14 hari proses pencetakan dan penghantaran.

Pada masa sama, kata Ikmal Hazlan, SPR perlu mengkaji kesesuaian agar Kedutaan Malaysia dan Suruhanjaya Tinggi di luar negara untuk berfungsi sebagai pusat mengumpul un­di pos bagi menjimatkan masa, kos selain memudahkan urusan pengundian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×