MUKADIMAH
PARLIMEN Sungai Buloh yang merupakan antara kerusi panas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bakal menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Khairy Jamaluddin (Barisan Nasional), Datuk R. Ramanan (Pakatan Harapan), Mohd. Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional), Mohd. Akmal Mohd. Yusof (Gerakan Tanah Air), Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) dan Nurhaslinda Basri serta Syed Abdul Razak Syed Long Alsagof, masing-masing calon Bebas.
Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID mendapatkan pandangan dua daripada tujuh calon tersebut yang dilihat agresif berkempen hingga menjadi sebutan dan bualan pengundi di Sungai Buloh.
Khairy dalam siri kempen beliau sebelum ini mengatakan soal calon tempatan atau tidak, sudah tidak relevan buat masa ini kerana pengundi lebih melihat kepada calon yang mampu memberi perkhidmatan terbaik. Ramanan pula menyuarakan keyakinan beliau untuk mengekalkan kemenangan di Sungai Buloh memandangkan ia merupakan kubu kuat PKR sejak tiga penggal lalu.
Pengundi lihat calon yang boleh beri perkhidmatan terbaik – Khairy
UTUSAN: Bagaimana dengan sambutan pengundi di Sungai Buloh setakat ini?
KHAIRY: Alhamdulillah setakat ini sambutan sama ada di kawasan bandar atau pinggiran bandar sangat baik dan saya berterima kasih kepada mereka kerana memberi ruang kepada saya untuk menyatakan perancangan untuk Parlimen Sungai Buloh ini.
Tetapi kita kena sentiasa ingat, ini kawasan yang kita kalah majoriti lebih kurang 26,000 undi jadi bukanlah satu kawasan yang mudah dan kempen yang mudah, jadi kita kena kerja kuat. Selain itu ramai juga hendak jumpa saya bagi memberi cadangan membawa perubahan ke Sungai Buloh.
Paling penting sekali saya maklumkan kepada mereka, Ahli Parlimen Sungai Buloh mestilah seorang wakil rakyat yang boleh membawa suara mereka ke Dewan Rakyat, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri.
Pandangan mengenai sentimen calon tempatan dan luar di mana ada di antara calon bertanding menggunakan isu tersebut untuk berkempen?
Bagi saya di kawasan bandar macam Sungai Buloh ini, saya rasa ramai yang duduk di sini adalah perantau dari macam-macam tempat.
Rumah saya sendiri 15 minit dari Kota Damansara, jadi saya rasa faktor anak tempatan ini mungkin kalau dahulu pentinglah tetapi sekarang ini Datuk Seri Anwar Ibrahim pun bertanding di Tambun, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Langkawi.
Perkara ini sebenarnya lebih kepada siapa yang dapat memberi perkhidmatan yang terbaik.
Sebelum ini ada pandangan mengatakan pertandingan di Sungai Buloh sebagai misi mustahil, kemudian timbul pendapat penganalisis mengatakan pengundi Sungai Buloh akan memilih Khairy, komen?
Ini adalah kawasan di mana kita kalah dengan majoriti 26,000 pada PRU14 dan jangan terbawa dengan kenyataan bahawa saya berpeluang menang di sini. Ini sangat tinggi untuk kita daki, jadi saya sentiasa memohon kepada penduduk Sungai Buloh memberi saya peluang kerana anda memerlukan seorang ahli Parlimen yang kuat.
Berdasarkan apa yang terjadi di Sungai Buloh pengundi memerlukan ahli Parlimen yang kuat kerana banyak isu yang perlu diperjuang untuk Parlimen ini.
Saya datang ke sini dan saya boleh menjadi ahli Parlimen yang kuat tetapi pengundi Sungai Buloh perlu sokong saya, bekerja dengan saya untuk memastikan kita dapat atasi segala permasalah yang berlaku sejak PRU lalu.
YB ada berkata kalau hendak tuduh, tuduh dengan jelas kalau tidak YB akan saman Ramanan dan beliau dalam ceramah sebelum ini memetik skandal yang sama. Komen?
Apa yang dia tengah buat adalah mengulang dan mengitar semula tuduhan yang pernah saya jawab sebelum ini dengan harapan itu akan menjejaskan kredibiliti dan imej saya.
Dia kalau hendak buat tuduhan buat tuduhan betul bukan dia kata ‘KJ kena jawab tuduhan ini’. Saya sudah jawab banyak kali di Parlimen dan juga di Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Banyak kali saya sudah jawab.
Kalau dia berani buatlah tuduhan cakap KJ sakau duit, ambil duit dan saya akan saman serta jumpa dia di mahkamah. Tetapi saya tahu dia tidak akan buat sebab sampai hari ini tiada satu bukti saya bersalah.
Difahamkan pengundi muda susah untuk keluar mengundi jadi bagaimana YB akan pastikan golongan itu di Sungai Buloh keluar mengundi?
Sungai Buloh mempunyai peningkatan yang besar dalam jumlah pengundi di Selangor dan ia cabaran besar buat kami sebab tiada siapa tahu bagaimana pengundi baharu ini akan membuang undi kerana ini kali pertama untuk mereka.
Saya juga banyak berkempen dari pagi sampai malam termasuk kempen dalam talian yang masih berjalan dengan pelbagai kandungan kita keluarkan di dalam media sosial saya untuk mendekati golongan muda kerana memahami kesibukan mereka hadir ke program dan kempen.
Kita kena terus mendekati mereka dan saya harap mereka faham bahawa hak telah diberikan kepada mereka untuk membuang undi antara 18 hingga 20 tahun di mana sebelum ini 21 tahun ke atas. Saya harap mereka membuat keputusan tepat untuk masa hadapan bukan sahaja Sungai Buloh tetapi juga negara. –
Ramai berswafoto bukan penentu kemenangan – Ramanan
UTUSAN: Pertandingan tujuh penjuru di Sungai Buloh bagaimana dari segi persaingan berkempen?
RAMANAN: Saya ingat semua calon sedang berusaha sebaik mungkin berkempen dan kita boleh lihat mereka banyak bergerak bertemu pengundi dan begitu juga saya yang tidak menang tangan berkempen dan bertemu pengundi.
Kalau tanya saya, memang pengundi sangat positif mereka menjawab dengan cara berjabat tangan dan mengutarakan permasalahan yang dihadapi seperti masalah jalan, kesesakan lalu lintas, penempatan gerai-gerai peniaga kecil dan bermacam lagi.
Dari segi gerak kerja pula saya dibantu sepenuhnya oleh jentera PH Sungai Buloh serta dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Paya Jaras, Mohd. Khairuddin Othman dan Kota Damansara, Shatiri Mansor.
Parlimen Sungai Buloh merupakan kubu kuat kami, jadi saya yakin akan dapat mempertahankan kerusi yang dimenangi.
Berhadapan dengan calon bertaraf menteri adakah Datuk melihat ini satu cabaran besar?
Macam saya katakan, saya dibantu oleh dua ADUN. Saya percaya dan yakin jika kami semua bekerjasama kami mempunyai peluang untuk menang.
Sebelum ini, nisbah atau komposisi pengundi berbeza iaitu di antara MIC dan PH tetapi kali ini sudah tentu calon BN tetapi daripada UMNO, jadi kami kena melihat semula beberapa perkara. Namun saya fikir kami hanya perlu bekerja keras dan meningkatkan lagi momentum.
Seperti saya katakan strategi saya untuk mempertahan Parlimen Sungai Buloh dan menyumbang satu daripada 112 kerusi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri adalah dengan bekerja keras bersama keluarga pakatan saya di sini.
Pengumuman Datuk untuk tidak ambil gaji sebagai ahli Parlimen menerima pelbagai reaksi, komen Datuk?
Saya faham yang komen di media sosial ini adalah cybertrooper tetapi mungkin mereka kena dengar betul-betul apabila saya buat pengumuman saya tidak akan mengambil gaji jika menjadi Ahli Parlimen, saya juga menyatakan bahawa saya tidak akan mengambil walaupun seringgit gaji saya.
Itu bermaksud elaun saya termasuk sekali, seringgit pun saya tidak akan ambil maksud dia apa sahaja elaun yang saya dapat daripada kerajaan akan diberikan kepada semua rumah ibadat seperti masjid, surau, kuil dan tokong.
Khairy mengatakan jika diterjemahkan jumlah pengundi Sungai Buloh yang berswafoto dengannya beliau mempunyai harapan untuk menang, komen Datuk?
Kalau kita tengok cara orang datang bergambar dengan seseorang dan itu menunjukkan kebolehan mereka untuk menang, kalau kita andaikan macam itu Brad Pitt akan menjadi Presiden Amerika Syarikat.
Kalau dia keluarkan komen-komen macam ini lebih baik dia joint kelab komedi, bukan dia hendak jadi wakil rakyat. Ini yang saya berulang kali katakan, ini bukan Rembau ini Sungai Buloh. Saya harap dia ambil maklumlah.
Bagaimana dengan sambutan pengundi muda di Parlimen Sungai Buloh?
Pengundi muda ada yang saya jumpa, mereka menyatakan tidak tahu untuk mengundi atau tidak kerana mereka masih belum membuat keputusan. Saya lihat mereka belum melihat lagi faktor penarik untuk keluar mengundi. Ini sedikit merisaukan dan saya bersama jentera PH akan berkempen memastikan mereka keluar mengundi dan memastikan kemenangan buat kami.
Ada segelintir pula mengatakan mereka akan mengundi PH kerana keluarga mengundi PH. Ada juga mengatakan akan mengundi BN kerana keluarga mengundi BN. Lebih menarik ada yang cakap dengan saya mereka mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. – UTUSAN










