Keupayaan, kesiapsagaan TUDM tak perlu lagi dipersoal

Keupayaan, kesiapsagaan TUDM tak perlu lagi dipersoal

Pasukan Pertahanan Darat TUDM (Handau) melakukan demonstrasi prosedur 'ground force down' dalam sesi hari media sempena Eksesais PARADISE 9/22 dan ELANGAROO di Pangkalan Udara Butterworth, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Keupayaan dan kesiapsagaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam mengawal ruang udara negara ini, kini tidak perlu lagi dipersoal.

Kemantapan angkatan itu untuk sentiasa berada pada tahap terbaik jelas dibuktikan dalam satu sesi bersama agensi media, pegawai-pegawai Kementerian Kewangan, Kementerian Pertahanan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di Pangkalan Udara di sini, semalam.

Sesi itu bersempena Eksasais PARADISE (Paradrop, Air Defence, Insertion, Strike, Search and Rescue and Extraction) 9/22 dan Eksesais ELANGAROO 22 yang turut disertai Tentera Udara Diraja Australia (RAAF).

Antara latihan operasi yang disaksikan adalah scramble alert 15 minute dua pesawat pejuang TUDM dalam mempamerkan kepantasan angkatan itu berlepas dalam tempoh 15 minit untuk melaksanakan Op Curiga.

Op Curiga bertujuan memintas pesawat asing yang menceroboh ruang udara Malaysia, sama ada dengan mengiringi mereka keluar dari ruang udara atau mengiringi pesawat itu untuk turun secara paksa di mana-mana Pangkalan Udara TUDM.

Selepas pesawat asing itu mendarat, Pasukan Pertahanan Darat TUDM (Handau) memainkan peranan dengan mengawal luar pesawat sebelum berapa juruterbang dan kru pesawat asing diarah keluar untuk dibawa ke satu tempat bagi siasatan lanjut.

Apabila Handau selesai menjalankan tugas, pasukan Explosive Ordnance Disposal (EOD) mengambil alih dengan menyia­sat sama ada pesawat asing itu mempunyai sebarang bahan letupan atau sebaliknya.

Selain itu, anggota terutama­nya juruterbang TUDM juga boleh diibaratkan sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk menerbangkan pesawat mereka dalam apa sahaja situasi.

Ia susulan TUDM melalui Pusat Simulator Pejuang di Pangkalan Udara di sini mempunyai tiga simulator yang mencecah berbi­lion ringgit bagi membantu anggota mereka berlatih walaupun tanpa pesawat pejuang sebenar.

Tiga simulator tersebut memberikan gambaran dengan fungsi dan keadaan sebenar sama ada situasi normal mahupun luar jangka bagi anggota mengasah kemahiran mereka untuk pesawat pejuang, F/A-18D Hornet dan Hawk MK 108.

Dalam pada itu, TUDM turut mempamerkan latihan operasi Tactical Casualty Care (TCCC) yang menampilkan pasukan Handau melawan ancaman pengganas di daratan.

Aksi dan kelincahan yang dipamerkan pasukan Handau ternyata tiada keraguan untuk TUDM menjaga kedaulatan negara sama ada di udara atau daratan.

Terdahulu, TUDM melaksanakan Eksasais PARADISE (Paradrop, Air Defence, Insertion, Strike, Search and Rescue and Extraction) 9/22 dan Eksesais ELANGAROO 22 yang disertai Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) selama 12 hari.

Eksesais PARADISE 9/22 bermula 7 November lepas sehingga Jumaat ini melibatkan TUDM, Tentera Darat Malaysia (TDM), dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Eksesais ELANGAROO pula disertai RAAF bagi meningkatkan aspek pengukuhan kerjasama pertahanan di peringkat serantau serta meningkatkan kebolehoperasian keupayaan udara di antara TUDM serta RAAF. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN