Kes mayat dalam semak diklasifikasi bunuh

Kes mayat dalam semak diklasifikasi bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Penemuan mayat seorang lelaki di kawasan semak Lorong Cempaka, Kampung Sungai Kajang, Tanjong Karang di sini, hari ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, polis ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 9.10 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan menemukan mangsa terbaring dengan kesan kecederaan di kepala.

“Pegawai perubatan turut tiba di lokasi kejadian dan siasatan mendapati kematian berunsur jenayah berdasarkan luka tersebut.

“Lelaki berusia lingkungan 40-an itu dipercayai bukan warga Malaysia kerana tiada tanda suntikan BCG,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Jelas Ramli, sebuah motosikal Modenas berwarna putih turut ditemukan berdekatan mangsa.

“Unit Anjing Pengesan (K9) cuba menjejaki suspek namun tidak menemukan sebarang maklumat.

“Siasatan di lokasi kejadian turut dijalankan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Tambah beliau, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Proses bedah siasat mangsa akan dijalankan di Hospital Sungai Buloh.

“Siasatan lanjut kes berkenaan masih dijalankan secara menyeluruh,” katanya.

Terdahulu, seorang warga emas tergamam apabila objek disangka kain buruk rupa-rupanya mayat seorang lelaki  di kawasan semak berkenaan.

Mayat individu berpakaian lengkap itu ditemukan Toriman Marsaid, 66, yang mengayuh basikal menuju pulang ke rumah selepas selesai minum di sebuah kedai makan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN