Kerajaan PH-BN Perak diteruskan walaupun tak selari Persekutuan

Kerajaan PH-BN Perak tetap diteruskan walaupun tidak selari Persekutuan

SAARANI Mohamad pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama exco kerajaan negeri di Ipoh hari ini. - FOTO/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan Negeri Perak yang sudah dibentuk ketika ini menerusi kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tetap akan diteruskan walaupun tidak selari dengan kerajaan Persekutuan yang akan dibentuk kelak.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu telah dimuktamadkan dan kerajaan negeri yang sudah dibentuk sekarang akan berjalan seperti biasa.

Menurutnya, pembentukan kerajaan Persekutuan berbeza dengan negeri kerana di peringkat Pusat terdapat banyak parti.

“Tak ada (kerjasama BN-PH di Perak dikaji semula). Kita telah muktamadkan seperti mana yang sepatutnya sebab fokus kini ialah untuk memulakan kerja-kerja membangunkan negeri saya, tak boleh lewatkan.

“Di Pusat ada beberapa parti, PH, PN, BN, GPS, GRS, Warisan banyak parti tapi di Perak ada tiga sahaja, BN, PN dan PH. Jadi, dengan mudah kita buat keputusan dan kita teruskan apa yang kita buat, sebab itu kita sudah mula.

“Selepas saya mengangkat sumpah Menteri Besar dan exco angkat sumpah, hari ini kita terus dengan mesyuarat exco pertama dan selepas ini sidang DUN, kita ‘move on’,  jalan terus,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini hari ini.

Sementara itu, Saarani berkata, dalam mesyuarat pertama exco kerajaan negeri hari ini, beliau telah meminta agar semua parti meminimumkan kepentingan politik masing-masing kerana pilihan raya sudah selesai.

Katanya, selain itu semua parti diminta supaya tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berbaur perkauman atau yang boleh mengguris perasaan rakyat.

“Selain itu kita minta semua perkara dibawa dalam perbincangan. Kita juga setuju ini bukan kerajaan PH, bukan juga kerajaan campuran tetapi yang ada hanya kerajaan negeri perak Darul Ridzuan, satu nama sahaja,” katanya.

Menurutnya, pada mesyuarat exco hari ini beliau memberi peluang kepada semua exco untuk berucap dan semuanya menjurus kepada hal yang sama iaitu bagaimana hendak menyatukan hati masing-masing, mengurangkan segala ketegangan dan meminimumkan segala perbezaan,  meletakkan perbezaan di luar dan cari titik pertemuan untuk membangunkan negeri perak.

“Saya gembira sebab saya telah memulakan dengan baik dan kita telah melepasi fasa pertama kerana saya ada sedikit pengalaman. 

“Kita sudah memulakannya, kita bersama-sama berikrar untuk kita mengetepikan segala kepentingan diri dan hanya fokus kepada kepentingan rakyat perak sahaja, semua exco setuju tadi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN