Jumlah bendera, hadiri ceramah bukan penentu menang

Jumlah bendera, hadiri ceramah bukan penentu menang

AMINUDDIN Md. Hanafiah (kanan) beramah mesra bersama peniaga pada program walkabout di Taman Mas, Chepor di Ipoh, Perak. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kehadiran orang ramai pada ceramah dan program dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan penentu dan gambaran kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) itu.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Tambun, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah berkata, kehadiran ramai itu adalah bersifat subjektif yang mungkin dibawa dari luar untuk membentuk persepsi dalam kalangan masyarakat.

Jelasnya, kemenangan calon yang bertanding hanya akan diterjemahkan melalui jumlah undian pada hari mengundi kelak.

“Corak pemikiran pengundi ini tidak dapat dipastikan hanya dengan melihat kepada jumlah bendera dan berapa ramai orang yang hadir ke ceramah.

“Contoh seperti sebahagian program PH, penyokong yang datang difahamkan adalah mereka yang dibawa dari luar, bukannya orang tempatan. Jadi dari segi kehadiran penonton, nampaklah ramai.

“Bagaimanapun, adakah mereka yang datang ini akan mengundi di Tambun pada 19 November depan? Sebenarnya, ini adalah indikator paling penting bagi tentukan siapa menang di Tambun,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan walkabout di Taman Mas, Chepor di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas dakwaan yang mengatakan Presiden PKR itu sedang mendahului setakat minggu pertama kempen, Aminuddin berkata, semuanya terpulang kepada kebijaksanaan pengundi.

Katanya, pengundi perlu membuat pilihan secara bijaksana agar sebuah kerajaan yang stabil dapat dibina.

“Ada yang kata anwar mendahului, ada juga yang kata Perikatan Nasional (PN). Ada juga saya dengar PRU (Pilihan Raya Umum) ini antara PH dan PN, selain ada yang sebut antara PH dan BN (Barisan Nasional).

“Pada saya, terserah kepada pengundi. Semasa kempen pun, kita menyatakan kepada mereka bahawa rakyat melihat bentuk kerajaan yang dibina, ditubuhkan oleh parti-parti. 

“Jadi, masing-masing sepatutnya boleh menggunakan akal fikiran, sebab kita mahu mencari kestabilan. Kestabilan dimulakan dengan kestabilan politik.

“Kerajaan yang ditubuhkan mestilah kerajaan dominan yang boleh membuat keputusan tanpa disanggah kawan parti. Jadi untuk itu mereka kena buat pilihanlah,” katanya.

Parlimen Tambun menyaksikan persaingan empat penjuru di mana Aminuddin akan berhadapan dengan Anwar yang juga Pengerusi PH; Abdul Rahim Tahir (GTA) dan penyandang kerusi itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Perikatan Nasional). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya