Guru memandu didakwa terima rasuah RM400 luluskan pelatih wanita - Utusan Malaysia

Guru memandu didakwa terima rasuah RM400 luluskan pelatih wanita

GURU sekolah memandu, Abu Zaharin Osman mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima suapan sebanyak RM400 dan diberi jaminan dengan seorang penjamin sebanyak RM5,000 di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang guru sekolah memandu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah bagi membantu meluluskan ujian seorang pelatih wanitanya, awal tahun lalu.

Tertuduh, Abu Zaharin Osman, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu dituduh menerima wang tunai RM400 daripada seorang wanita berusia 29 tahun sebagai dorongan bagi membantu meluluskan ujian memandu di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 1 petang di hadapan sebuah restoran makanan segera di Jalan Hanis Najihah, Taman Perling, 23 Februari tahun lalu. Dia didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, Abu Zaharin didakwa telah diberikan wang suapan berjumlah RM400 daripada seorang wanita bagi membantu meluluskan ujian memandunya di JPJ. Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah restoran makanan segera di Jalan Hanis Najihah, Taman Perling di sini, pukul 1 petang, 23 Februari 2021.

Dia didakwa di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta yang sama. Bagi pertuduhan itu, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin, manakala tertuduh diwakili peguam, K. Bharathi. Pihak pendakwaan memohon tertuduh dikenakan ikat jamin berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Sementara itu, Bharathi memohon jumlah itu dikurangkan dengan mengambil kira anak guamnya yang merupakan penanggung tunggal keluarga yang mempunyai seorang isteri serta dua anak berusia tiga dan lapan tahun selain pendapatan yang diperoleh adalah sebanyak RM1,500 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah. Mahkamah menetapkan 12 Disember ini sebagai sebutan semula kes tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya