Angka korban banjir Texas meningkat 50 orang

Angka korban banjir Texas meningkat 50 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HOUSTON: Usaha mencari dan menyelamat mangsa banjir kilat di Texas Tengah diteruskan buat malam kedua selepas tragedi itu meragut sekurang-kurangnya 50 nyawa, termasuk 15 kanak-kanak, dengan 27 lagi masih hilang.

Sherif Kerr County, Larry Leitha berkata, pihaknya akan terus menggerakkan operasi sehingga semua mangsa berjaya ditemui.

“Kerja-kerja mencari masih diteruskan dan tidak akan dihentikan selagi semua mangsa belum ditemui,” katanya dalam satu sidang akhbar.

Sebahagian besar mangsa yang masih hilang merupakan peserta kem musim panas Kristian untuk kanak-kanak perempuan, Camp Mystic, yang terletak di tebing Sungai Guadalupe.

Menurut pegawai, seramai 27 kanak-kanak dari kem tersebut belum dikenal pasti status mereka.

Gabenor Texas, Greg Abbott dalam satu kenyataan berkata, beliau sudah menandatangani pengisytiharan bencana yang diperluas bagi mempercepat dan memperkukuh usaha mencari dan menyelamat di kawasan terjejas.

“Kami tidak akan berhenti sehingga semua mangsa ditemui. Misi ini adalah misi mencari dan menyelamat, bukan pemulihan,” tegasnya.

Setakat ini, seramai 850 mangsa berjaya diselamatkan dalam operasi yang turut membabitkan pasukan pengawal pantai Amerika Syarikat (AS) yang dikerahkan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.

Presiden AS, Donald Trump memaklumkan pihak pentadbirannya bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi menangani bencana itu.

Jabatan Kaji cuaca Kebangsaan AS memberi amaran kawasan Texas Tengah berpotensi menerima hujan tambahan antara 5 hingga 12 sentimeter sepanjang hujung minggu ini, dengan sesetengah kawasan yang teruk terjejas berisiko menerima lebih 25 sentimeter. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN