Lambo Sari bantu aktivis jana pendapatan

Lambo Sari bantu aktivis jana pendapatan

SARINAH Said ( tengah) menunjukkan rangka wau bulan dan kit mewarna batik yang dieksport ke Singapura di Lambo Sari yang terletak di Kampung Telaga Daing, Terengganu.- UTUSAN/ ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Pusat Seni Interaktif Warisan, Lambo Sari di Kampung Telaga Daeng, di sini membantu kira -kira 15 aktivis yang bernaung di bawahnya menjana pendapatan melalui jualan rangka wau bulan dan kit mewarna batik ke Singapura, sejak lima tahun lalu.

Pengasasnya, Sarinah Said berkata, pusat seni yang diwujudkan pada 2019 itu berperanan sebagai pusat seni setempat yang mempamerkan hasil seni warisan Terengganu seperti batik, wau, kuih tradisional dan busana tradisional.

Katanya, setiap bulan dianggarkan antara 300 hingga 400 keping produk tersebut dieksport ke negara jiran itu yang mampu menjana pendapatan kira-kira RM10,000.

“Usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu aktivis seni terbabit memperoleh pendapatan bulanan antara RM600 hingga RM4,000 mengikut kriteria kerja masing-masing.

“Setiap aktivis mempunyai kemahiran seni tersendiri. Ada yang mahir membuat wau, mencanting, menampal wau, membuat rangka, menghasilkan batik blok selain membuat pembungkusan,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Lambo Sari.

Sarinah berkata, permintaan terhadap produk seni seperti rangka wau antara paling tinggi kerana ia dijadikan sebagai salah satu bahan pembelajaran untuk pelajar sekolah di Singapura.

“Kita bangga dapat berkongsi hasil seni warisan negeri kepada orang luar. Secara tidak langsung ia dapat mempromosikan produk yang dihasilkan oleh orang tempatan ke luar negara,”katanya.

Katanya, Lambo Sari mendapat kebenaran kerajaan negeri sebagai pengedar tunggal untuk ikon pelancongan iaitu penyu yang diberi nama ‘Awang Nelang’ dan ‘Mek Ara’ pada awal tahun ini.

Menurutnya, sebagai pertibuhan bukan kerajaan (NGO) , pihaknya sentiasa mengharapkan sokongan kerajaan supaya dapat bertahan.

“Alhamdulillah, setakat ini kita mendapat sokongan yang baik dan untuk tahun ini kita memohon dua geran di bawah Yayasan Hasanah dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia untuk mendokumentasikan Gasing Pangkah dan Batik Blok,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×