TENOM: Enam mangsa termasuk empat kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) terkandas lebih 10 jam akibat kejadian tanah runtuh yang berlaku di laluan utama menuju ke Stesen Janakuasa Hidro Pangi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tenom, Mohd. Zainal Sinsian berkata, kesemua mangsa ditemukan dalam keadaan selamat pada pagi tadi.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tanah runtuh itu pada pukul 8.30 pagi tadi. Kejadian itu mengakibatkan bahagian pagar utama serta beberapa buah kenderaan dan motosikal tertimbus.

“Enam mangsa lelaki terperangkap di kawasan bilik kawalan yang berada pada jarak lima kilometer dari pagar utama bangunan.
“Mangsa terdiri daripada empat kakitangan SESB dan dua polis bantuan yang berusia antara 29 hingga 59 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba terpaksa berjalan kaki dan berjaya menemukan dan menyelamatkan mangsa di Kilometer satu dari pagar utama.
“Pasukan bomba seterusnya menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan untuk memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain berlaku,” katanya.
Beliau turut menasihati pekerja dan orang awam agar tidak memasuki kawasan tanah runtuh tersebut dan operasi tamat 9.30 pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir. Mohd. Yaakob Jaafar berkata, pihaknya SESB terpaksa menutup operasi Stesen Janakuasa Hidro Pangi dengan serta-merta.
Pada masa ini, pihak SESB sedang memeriksa keadaan dan menilai kerosakan yang berlaku.
“Pelan tindak kecemasan telah diaktifkan dan semua anggota kerja telah selamat dipindahkan tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurut beliau, kejadian tanah runtuh di sepanjang laluan masuk ke Stesen Janakuasa Hidro Pangi itu turut membawa limpahan air dan bongkahan batu besar.
Walau bagaimanapun, kejadian itu tidak menjejaskan bekalan elektrik kepada Sistem Grid Sabah.- UTUSAN










