BERA: Tuduhan mengatakan kerajaan gagal memulihkan ekonomi negara adalah tuduhan tidak berasas sedangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ketiga tahun ini meningkat 14.2 peratus berbanding lima peratus dan 8.9 peratus masing-masing pada suku pertama dan kedua.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kadar pengangguran juga menunjukkan trend penurunan iaitu 3.6 peratus pada September lalu berbanding 3.7 peratus pada bulan sebelumnya.
“Saya hendak buktikan bahawa tuduhan-tuduhan yang mengatakan kerajaan gagal memulihkan ekonomi dan sebagainya adalah tuduhan yang tidak berfakta sedangkan kita membuktikan berlaku peningkatan yang mendadak dalam KDNK negara.
“Malah pengangguran satu perkara dimomokkan seolah-olah rakyat tiada pekerjaan jadi angka-angka membuktikan kerajaan berjaya menurunkan kadar pengangguran,” katanya dalam sidang akhbar pada program ramah mesra bersama penduduk Kampung Bongkok di Bilik Gerakan Kampung Bongkok di sini semalam.
Ismail Sabri berkata, pertumbuhan KDNK negara adalah yang tertinggi jika dibandingkan dengan negara lain di Asia Tenggara sekali gus membuktikan usaha peningkatan ekonomi dilakukan kerajaan adalah tepat.
Jelasnya, jika dibandingkan kadar KDNK bagi suku ketiga Singapura adalah 4.4 peratus, Indonesia (5.72 peratus), Filipina (7.6 peratus), Vietnam (13.67 peratus) dan China 3.9 peratus.
Ismail Sabri menambah, trend penurunan kadar pengangguran negara adalah hasil pelbagai program yang diperkenalkan kerajaan seperti program jamin kerja dan sebagainya.
Selain itu, katanya, perdagangan borong dan runcit negara juga menunjukkan peningkatan sebanyak 23.9 peratus pada September apabila mencapai RM134 bilion berbanding dalam tempoh yang sama tahun lalu sebanyak RM108.1 bilion.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa anggota tentera yang mengundi awal di Parlimen Bera dibayar RM300 adalah bersifat fitnah dan merendahkan martabat anggota keselamatan.
Katanya, dakwaan itu sengaja dibuat untuk menimbulkan persepsi negatif masyarakat kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU15 ini.
“Ini tuduhan jahat dan jangan menghina anggota tentera. Malah, dia perlu tarik balik tuduhan kerana menghina anggota tentera seluruh negara,” katanya. – UTUSAN










