Econsave sediakan bekalan air percuma - Utusan Malaysia

Econsave sediakan bekalan air percuma

MAS Imran Adam (kanan) membantu seorang wanita mengisi air ke dalam botol di Pasaraya Econsave Permas Jaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Memahami kesusahan penduduk yang berdepan dengan masalah bekalan air sejak lima hari lalu, Pasaraya Econsave Cash & Carry membantu mereka mendapatkan bekalan air percuma hari ini.

Pengurus Besarnya, Mas Imran Adam berkata, bekalan air berkenaan disediakan di Pasaraya Econsave Bandar Permas Jaya di sini sejak awal pagi tadi.

Langkah itu bagi memudahkan pengguna supaya tidak lagi perlu beratur panjang dan menunggu lama bagi mendapat bekalan air yang dihantar lori tangki ke kawasan perumahan masing-masing.

“Setakat ini, ramai penduduk yang terjejas di kawasan berhampiran tampil mendapatkan bekalan air di sini. Kesemua mereka akui terpaksa mencatu penggunaan air bagi kegunaan isi rumah.

SEORANG wanita mendapatkan bekalan air di Pasaraya Econsave Permas Jaya.

“Saya harap inisiatif ini sekurang-kurangnya dapat menambah bekalan air bersih di rumah masing-masing seterusnya digunakan bagi tujuan memasak dan mandi dan sebagainya. Kami akan pastikan bekalan air ini terus disalurkan selagi masalah bekalan air belum pulih,” katanya.

Seorang suri rumah, Norhayati Maarof, 60, berkata, keluarganya hanya dapat mandi selepas dua hari gangguan bekalan air berlaku.

Bekalan air bersih yang disumbangkan Ranhill SAJ dan beberapa pihak lain ke kawasan kejiranannya sedikit sebanyak dapat menampung keperluan harian mereka.

“Saya rasa lega sangat selepas dapat tahu Econsave menyediakan bekalan air percuma. Inisiatif ini amat besar maknanya buat kami yang dalam keadaan terdesak. Kami berharap bekalan air dapat dipulihkan dengan secepat mungkin,” katanya.

Paip air yang pecah di Persiaran Bandar Seri Alam di sini dalam kejadian pada Khamis lalu menyebabkan 43,000 akaun pengguna masih terjejas akibat gangguan bekalan air.

Antara kawasan terjejas termasuk Taman Molek, Taman Johor Jaya, Taman Megah Ria, Taman Rinting, Taman Kota Puteri, Permas Jaya dan Bandar Seri Alam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN