SEREMBAN: Pesanan dititipkan pendakwah bebas, Ebit Lew ketika menziarah mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin, 43, memberi semangat kepada ahli keluarga untuk terus kuat menjaga wanita itu yang kini masih terlantar.
Adik mangsa, Fauziah Nordin, 40, yang kini menggalas tanggungjawab menjaga kakaknya itu tersentuh dengan kata-kata Ebit Lew tentang ujian berat dihadapi kakaknya akan mengangkat darjat serta ganjaran untuk ke syurga.
“Ebit Lew ada berkongsi tentang kisah nabi dan dia beritahu ujian yang diberikan oleh Allah termasuk kakak akan mengangkat darjat seseorang dan keluarga (yang menjaga) akan beroleh pahala besar ke syurga.
“Menurut Ebit Lew, Allah bukan sahaja menguji Jahidah tetapi diri saya untuk menjaga kakak dan anaknya, Eshan Nufail, tidak semua orang boleh memikul tanggungjawab besar begini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Fauziah berkata, kedatangan Ebit Lew yang menziarah Jahidah dan Eshan Nufail di rumahnya di Bandar Sri Sendayan pada pukul 11 pagi kelmarin sangat dihargai serta memberi semangat baharu buat mereka.
“Sehari sebelum itu, Ebit Lew ada menghantar mesej di Instagram dan menyatakan hasrat untuk melawat kak Jahidah dan semalam dia terus datang.
“Alhamdulillah, Ebit Lew turut mendoakan supaya kakak (Jahidah) boleh kembali sihat dan Eshan Nufail akan menjadi anak yang soleh,” katanya.
Ebit Lew dalam hantaran di Facebook miliknya semalam memberitahu bahawa beliau berasa sayu selepas melawat Jahidah yang dalam keadaan separuh sedar. –UTUSAN