Dipenjara 7 tahun, 3 sebatan, hidup atas hasil persundalan isteri

Lacurkan isteri: Pegawai bank dipenjara tujuh tahun, tiga sebatan

Tertuduh berusia 35 tahun dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan hidup atas wang hasil persundalan isteri dan memperdagangkan isterinya untuk tujuan eksploitasi seks.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pegawai bank dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tiga kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan hidup atas wang hasil daripada persundalan isterinya, Oktober lalu.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed membuat keputusan itu selepas tertuduh seorang lelaki berusia 35 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 372A(1) Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah hidup sepenuhnya atau sebahagiannya daripada hasil persundalan isterinya yang berusia 35 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah hotel di Kuala Pilah pada 30 Oktober lalu. 

Berdasarkan fakta kes, hasil siasatan mendapati tertuduh telah memaksa mangsa bagi tujuan eksploitasi seks sejak bulan Julai 2022 bagi menyelesaikan bayaran hutang yang ditanggung oleh tertuduh.

Siasatan juga mendapati tertuduh telah mengenakan bayaran RM1,000 bagi satu jam terhadap pelanggan yang melanggan mangsa untuk tujuan eksploitasi seks.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman seringan-ringannya atas alasan sudah bertaubat dan mahu disatukan semula dengan isterinya.

Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abu Hassan pula memaklumkan kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan tidak bermoral dengan mengambil kira pekerjaan itu dilakukan isterinya sendiri.

Sementara itu di kamar mahkamah berasingan, Hakim Datin Surita Budin menolak pengakuan bersalah tertuduh sama yang didakwa atas pertuduhan memperdagangkan isterinya bagi tujuan eksploitasi seks.

Mahkamah menolak pengakuan bersalah tertuduh kerana dianggap membuat pengakuan bersyarat di atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Terdahulu dalam prosiding kes, tertuduh membuat pengakuan bersalah namun tidak bersetuju dengan fakta kes yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh memaklumkan tiada paksaan terhadap isterinya melakukan perbuatan itu sebaliknya atas persetujuan bersama untuk mencari nafkah.

“Saya hendak beritahu tiada paksaan secara kasar atau tidak kasar, itu adalah persetujuan bersama bagi meneruskan hidup,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memperdagangkan seorang wanita berusia 35 tahun iaitu isterinya yang bukan seorang kanak-kanak bagi maksud eksploitasi seks. 

Kesalahan tersebut dilakukan di lokasi dan tarikh yang sama. Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula 30 November ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.