Dermasiswa bantu pelajar B40 capai impian

Dermasiswa bantu pelajar B40 capai impian

FAZRUL FAZLYE ABD MUTALIB dan EZZA UMIERA AHMAD NAZRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Hasrat menjadi juruteknik dalam bidang perkomputeran seperti terpaksa dilupakan Fazrul Fazlye Abd. Mutalib, 18, susulan masalah kewangan yang dihadapi keluarga.

Namun, duit upah hasil menoreh getah dan menjaga kedai runcit yang diperoleh semasa bekerja sambilan selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membolehkannya melanjutkan pengajian dalam bidang teknikal di Politeknik Kota Kinabalu.

Anak kedua daripada lima beradik yang berasal dari Kampung Melinsau Tanid, Ranau itu, berkata, kakaknya turut membantu membayar yuran pengajian pada semester pertama kerana dermasiswa belum diterima semasa dia mendaftar di politeknik.

Fazrul berkata, dia boleh menarik nafas lega apabila mengetahui dia antara 36 pelajar Politeknik Kota Kinabalu yang terpilih sebagai penerima Program Dermasiswa B40 TVET yang diadakan buat kali pertama pada tahun ini.

“Saya rasa amat gembira apabila mengetahui terpilih menerima dermasiswa. Bantuan kewangan itu sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan kewangan keluarga.

“Bapa saya adalah seorang penoreh getah dan ibu pula berniaga kedai runcit kecil-kecilan di kampung,” katanya semasa program penyampaian Dermasiswa B40 TVET semalam.

Dermasiswa itu disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dermasiswa B40, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar.

Fazrul yang mengambil Diploma Kejuruteraan Teknologi Elektrik Komputer itu turut menyimpan hasrat menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda sekiranya dermasiswa sebegitu ditawarkan lagi pada masa akan datang.

Berkongsi minatnya dalam bidang perkomputeran, anak muda ini mahu mencipta kasut anti graviti pada masa hadapan.

Biarpun impian itu dipandang rendah oleh rakan-rakan sekolah lamanya, namun, dia mahu membuktikan bahawa suatu hari nanti, dia akan berjaya dalam bidang reka cipta dan perkomputeran.

“Saya banyak belajar mengenai coding (pengekodan) komputer daripada Youtube dan laman web berkaitan. Itu usaha tambahan saya selain memperoleh ilmu melalui pembelajaran di dalam kelas,” katanya.

Turut menarik nafas lega apabila dimaklumkan menerima Dermasiswa B40 TVET ialah Ezza Umiera Ahmad Nazri, 18, yang mengambil diploma perakaunan.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan terima dermasiswa kerana saya tidak pernah memohon. Ibu saya yang memaklumkan tentang berita baik itu dan ibu sangat gembira semasa menerima panggilan telefon daripada pihak politeknik.

“Bantuan kewangan itu sedikit sebanyak boleh meringankan bebanan ibu dalam menampung perbelanjaan saya semasa berada di sini,” katanya.

Ezza berkata, dia memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang teknikal kerana peluang pekerjaan dalam bidang berkenaan amat banyak ditawarkan di negeri berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN