Cukup-cukuplah berpolitik - Tengku Hassanal

Cukup-cukuplah berpolitik, sekarang masa untuk bekerja – Tengku Hassanal

TENGKU HASSANAL IBRAHIM ALAM SHAH Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang bergabung membentuk kerajaan negeri ini setelah tergantung apabila tiada parti memperoleh majoriti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu diminta mengetepikan ideologi dan sentimen politik.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, letakkan agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.

“Kini bukan lagi masa untuk terus berpolitik. Cukup-cukuplah.

“Pilihan raya (PRU15) telah tamat, kerajaan negeri telah dibentuk. Sekarang, masa untuk bekerja,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di sini semalam. 

Tengku Hassanal bertitah, selepas PRU15, ini merupakan kali pertama dalam sejarah, tiada parti yang mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.

Justeru, titah Tengku Mahkota Pahang, kerajaan negeri yang dibentuk mestilah terdiri daripada, gabungan parti politik yang menang pilihan raya tersebut.

“Seri paduka ayahanda saya sudah memberi tempoh masa dan ruang kepada pimpinan parti untuk mengadakan perbincangan dan mencari titik persamaan supaya kerajaan negeri dapat dibentuk.

“Justeru, saya sudah menerima menghadap pimpinan parti, pada hari semalam bagi mendengar sendiri pendirian dan persetujuan mereka.

“Kedua-dua parti daripada BN dan PH bersedia untuk bekerjasama bagi membentuk kerajaan,” titah baginda.

Tengku Hassanal dalam pada itu mengingatkan semua pihak bahawa isu bangsa dan agama tidak patut dipolitikkan dalam sebuah negara berbilang kaum serta agama.

“Saya mahu semua wakil rakyat saya berpegang kembali dan menghayati teguh lima prinsip rukun negara. Ingat, susah payah orang dahulu membina negara dan negeri ini.

“Jangan kerana ideologi dan kepentingan politik kita gadaikan pembangunan dan kemajuan yang telah mula kita rasa.

“Sudah 65 tahun merdeka, kita seharusnya mula berlari laju, bukan lagi merangkak, mencari rentak. Jangan kerana, politik yang tidak matang, kita semua ke belakang,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.