KOTA BELUD: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyifatkan ramai calon berkelayakan di Sabah boleh dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Calon BN bagi Parlimen Kota Belud itu berkata, tawaran Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk melantik Timbalan Perdana Menteri dari Sabah memberi peluang kepada semua pemimpin yang berkelayakan dilantik bagi memegang jawatan nombor dua kerajaan Pusat itu.
“Tidak semestinya saya, kita ada 25 calon daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional. Semua berkelayakan untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri dan saya tidak katakan, sayalah yang akan dilantik.
“Kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk memutuskannya,” katanya ketika diminta mengulas tentang kenyataan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman yang menyatakan Abdul Rahman layak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian semasa majlis perjumpaan bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian di Kampung Melangkap hari ini.
Menurut beliau, perbincangan mengenai siapa yang layak menjadi Timbalan Perdana Menteri telah dibincangkan secara bersama antara GRS-BN namun, tidak elok untuk beliau mendedahkan hasil perbincangan tersebut.
“Biarkan pilihan raya ini berakhir dahulu sebab tidak elok jika saya dedahkan hasil perbincangan dengan GRS. Namun, yang pasti ramai (berkelayakan) dan kita mempunyai peluang sama rata untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, rakyat di kawasan Parlimen itu pasti akan menghargai sekiranya calon Timbalan Perdana Menteri dari Kota Belud.
Pada Sabtu, Musa menyatakan Abdul Rahman layak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri setelah mengambil kira jawatan yang pernah dipegang oleh Abdul Rahman dalam kerajaan Persekutuan sebagai Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancangan Ekonomi).
Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman yakin sokongan rakyat terhadap BN Sabah tidak akan terjejas dengan tindakan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
“Walaupun Anifah kawan saya tapi dia bukan pemimpin UMNO jadi, apa yang dia lakukan tiada kaitan dengan kita.
“Ramai pemimpin meninggalkan UMNO pada 2019 dan kita telah susun semula kekuatan parti kita jadi, tidak kira apa berlaku UMNO akan terus bergerak ke hadapan,” katanya.
Tambah beliau, keputusan Anifah itu bersifat peribadi tapi, beliau yakin UMNO Sabah akan menjadi lebih kukuh.-UTUSAN