Calon profesional PRU15

Calon profesional PRU15

CALON profesional dalam PRU15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan gabungan parti utama melibatkan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA) mengambil langkah berani mempertaruh golongan profesional.

Beberapa calon yang di­tam­pilkan pada pilihan raya umum kali ini terdiri daripada mereka yang memiliki kelayakan profesional seperti pakar perubatan, pengamal undang-undang, jurutera dan bekas mahupun pesara anggota per­khidmatan awam berkaliber tinggi.

Rata-rata golongan profesional yang bertanding bagi kerusi Parlimen PRU15 kali ini kebanyakannya terdiri daripada calon muka baharu, namun ada juga antara mereka yang sudah menjadi Ahli Parlimen sebelum ini.

Percaturan itu bagaimanapun jelas bagi membawa idea, kepakaran, pengalaman dan komitmen mereka kepada pengundi pada pilihan raya umum kali ini.

DR. NURUL ASHIKIN MABAHWI

Ketua Pejuanita Muda Malay­sia, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Dr. Nurul Ashikin Mabahwi dinamakan mewakili GTA di Parlimen Ampang, merupakan seorang pakar kajian pengurusan banjir dan bencana alam.

Beliau mendapat Ijazah Perancangan Bandar dan Wilayah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan berkelulusan sarjana dalam pengkhususan Alam Bina dari universiti sama sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam Sistem Persekitaran Serantau di Institut Teknologi Shibaura, Jepun.

Nurul Ashikin terlibat secara langsung dalam kajian-kajian pengurusan banjir dan bencana alam di ‘Laboratory of Planning and Regional Resilience’, Jepun. Beliau juga menulis kajian bagaimana perancangan bandar mempengaruhi kualiti udara di jurnal.

Parlimen Ampang kali ini me­nyaksikan menyaksikan pertem­bungan sembilan penjuru. Se­lain Dr. Nurul Ashikin dan penyandang­nya, Datuk Zuraida Kamaruddin, kerusi Parlimen itu turut dicabar calon daripada BN, Parti Warisan dan tiga calon bebas.

NEOW CHOO SEONG

Calon BN Parlimen Taiping, Neow Choo Seong adalah bekas Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan berpengalaman luas sepanjang 13 tahun berkhidmat sebagai seorang diplomat di Kementerian Luar Negeri atau Wisma Putra.

Krisis politik di Venezuela dan ketidakstabilan politik di Amerika Syarikat membuka mata dan minda Choo Seong mengenai pentingnya kerajaan yang stabil dan pentadbiran yang baik, sekali gus membuat keputusan meletak jawatan pada 1 November lepas.

Menurut satu hantarannya di Facebook, beliau berkata, Malaysia perlukan lebih ramai orang muda yang berintegriti, berani, dan berwawasan untuk membawa dan membangunkan semula negara ke tahap yang membanggakan.

KHLIR MOHD. NOR

Mejar Jen (B) Datuk Khlir Mohd. Nor adalah veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dipertaruh mewakili PN di Parlimen Ketereh.

Beliau yang memperoleh Diploma Pengajian Strategik dan Pertahanan dari Universiti Malaya (UM) pada 1995 pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam ketenteraan.

Antaranya adalah Ketua Penolong Pengarah Pejabat Penyela­rasan Sempadan Malaysia, Thailand (MTCBO); Panglima 51 Briged Markas Tentera Darat (MKTD) Cawangan Perisikan; Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (TKPPP) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) dan Pengarah Strategik BSPP.

Selain itu, Khlir juga pernah berkhidmat di luar negara sebagai Pemerhati Tentera Gencatan Senjata Iran-Iraq Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIMOG) di Iran pada Ogos 1988 hingga Februari 1989; Timbalan Pemantau Antarabangsa di Filipina (September 2004 – Ogos 2005) dan Penasihat Pertahanan di Filipina (Mac 2007 – Februari 2009).

NORAISHAH MYDIN ABDUL AZIZ

Dr. Noraishah Mydin Abdul Aziz adalah pensyarah kanan di Jabatan Parasitologi Fakulti Perubatan UM, dicalonkan PH bertan­ding kerusi Parlimen Putrajaya.

Beliau merupakan tokoh profesional berkelainan upaya yang menjadi aktivis pesakit-pesakit spina bifida.Beliau yang menghidap spina bifida sejak kecil mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Selepas lulus Ijazah Sarjana dalam bidang genetik, Dr. Noraisah melanjutkan pelajaran di University of London di peringkat Doktor Falsafah dalm bidang biokteknologi perubatan (pengkhususan developmental neurobiology).

Beliau menentang lima lagi calon termasuk penyandangnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada BN.

JAYA CHANDRAN PERUMAL

Calon PN di Parlimen Klang, Dr. Jaya Chandran Perumal merupakan seorang doktor perubatan yang pernah bertugas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang sebelum berhenti bagi menumpukan tugasan di klinik sendiri.

Dr. Jaya Chandran adalah Ketua Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Klang dan mempunyai empat klinik sendiri di kawasan sekitar Lembah Klang.

Beliau yang mendapat pendidikan tertinggi di Kursk State Medical University di Rusia juga memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di lima syarikat dalam bidang perubatan sejak 2014.

SYAHREDZAN JOHAN

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Syahredzan Johan merupakan seorang peguam yang bertanding di Parlimen Bangi, mewakili PH pada PRU15 kali ini.

Syahredzan berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang Cardiff University, United Kingdom mula berkhidmat bersama firma Ram Caroline Sha & Syah pada 2006 sebelum diperakui sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi pada 2007.

Selain daripada menjadi rakan kongsi firma guaman di ibu negara yang berpengalaman dalam kes litigasi sivil dan jenayah, Syahredzan juga adalah bekas Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan dan Jawatankuasa Peguam Muda di Majlis Peguam Malaysia.

Beliau pernah menerima anu­gerah The Edge Inspiring Young Leaders Awards 2017 atas penglibatannya sebagai peguam aktivis yang memperjuangkan pendidikan Perlembagaan dan juga dipilih sebagai salah seorang Prestige Malaysia Top 40 Under 40 pada 2018.

DANIAL ABDUL MAJEED

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menamakan Danial Abdul Majeed yang juga seorang jurutera berusia 26 tahun sebagai calon kerusi Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang.

Lulusan kejuruteraan elektronik (komputer) dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Belia dan Duta Pembangunan Transformasi Luar Bandar di Sabah.

Memulakan kerjaya sebagai Jurutera Pembuatan di kilang Elektronik multinasional pada 2020 sebelum bergiat aktif dalam Muda sejak 2021.

Antara pencapaiannya adalah berjaya membantu Pengurusan Halaman Kristal untuk mendapatkan kerja kalis air mereka bernilai RM490,000 yang diluluskan de­ngan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Pada PRU15 kali ini, Danial menentang tiga calon yang mewakili PN, GTA termasuk penyandang Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal merican Naina Merican.

AZALINA OTHMAN SAID

Datuk Seri Azalina Othman Said adalah penyandang Parlimen Pengerang selama empat penggal dan kembali mempertahan kawasan itu atas tiket BN pada PRU15. Bekas Ketua Puteri UMNO itu adalah pengamal undang-undang yang pada mulanya hanya terlibat dengan Pusat Bantuan Guaman Biro Tindakan Sivil UMNO.

Beliau memulakan kerjaya sebagai pembantu undang-undang di Messr Raja Darryl & Loh pada 1988-1989 dan 1991-1994. Selepas menimba pengalaman, beliau menjadi rakan kongsi di syarikat guaman Azalina Chan & Chia pada 1994-2001 dan Messrs Skine (2001-2002).

Pada 2002 sehingga kini, beliau menjadi rakan kongsi di Messrs Zaid Ibrahim & Co. dan Zaid Ibrahim & Co. LLP, Singapura mulai 2003.

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN

Calon PN Jerantut, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin adalah bekas jurutera kanan syarikat minyak dan gas antarabangsa di Petronas dan TALISMAN Malaysia Limited.

Khairil Nizam mendapat pendidikan dalam pengajian sarjana muda dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) pada 1997 sehingga 2002 dan menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang pengurusan dan penyelenggaraan aset di universiti yang sama pada 20122 hingga 2013.

Dalam Pas, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Bendahari Dewan Pemuda, Ketua Pemuda, Ahli Jawatankuasa Kerja dan kini sebagai Ketua Penerangan parti itu sejak 2021.

Pada pilihan raya umum 2018, beliau bertanding di Parlimen Gombak mewakili Pas, namun mendapat undian terendah berbanding calon BN dan penyandang kawasan itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

AMINUDDIN YAHYA

Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Aminuddin Yahya dicalonkan atas tiket Parti Pejuang di kerusi Parlimen Temerloh, merupakan seorang anak jati yang dilahirkan dan dibesarkan di Kampung Songsang, Temerloh.

Beliau mendapat pengajian di UiTM dalam Diploma Perakaunan sebelum terbang ke United Kingdom untuk meneruskan pengajian Sarjana Muda Perakaunan di University of Huddlesfield seterusnya memperoleh sijil profesional akauntan ACCA (Persatuan Akauntan Bertauliah) dari Emile Wolf School of Accountancy, United Kingdom.

Selepas pulang ke tanah air, Aminuddin mula berkhidmat di syarikat antarabangsa terkemuka Ernst & Young, agensi-agensi seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Telekom Publications sebelum membuka firmanya sendiri yang mempunyai cawangan dalam dan luar negara.

Bekas Presiden Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) itu sebelum ini lantang dalam melibatkan diri, berjuang dan memberi sumbangan kepada masyarakat terutamanya dalam isu agama, bangsa dan tanah air.

Selain daripada pernah menganjurkan himpunan terbesar dalam sejarah Malaysia iaitu Himpunan 812 Bantah ICERD pada 2018 di Dataran Merdeka, beliau juga dikenali sebagai figura utama bagi siri-siri pembongkaran pencerobohan tanah Raub dan serata Pahang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya