Calon BN Bagan Serai disangka adik Noor Azmi

Calon BN Bagan Serai disangka adik Noor Azmi

ZUL Helmi Ghazali (tengah) bersama calon dan penyokong BN pada penamaan calon PRU15 di Kolej Vokasional Kerian di Bagan Serai, Perak.- UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Bagan Serai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Zul Helmi Ghazali menafikan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan bekas penyandang kerusi parlimen itu, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali.

Menurutnya, disebabkan mempunyai nama bapa yang sama, ramai yang menyangka dia merupakan adik kepada Noor Azmi dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Akibat daripada salah sangka itu, katanya, ada beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) di sini hampir ditutup oleh para petugasnya.

“Ada pihak yang agak nakal cuba mempermainkan persepsi dengan menyatakan saya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan bekas Ahli Parlimen Bagan Serai disebabkan nama bapa kami serupa.

“Antara kami tiada hubungan kekeluargaan, nama bapa yang sama hanya kebetulan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas penamaan calon di Dewan Semarak Budi Kolej Vokasional Kerian di sini hari ini.

Pada PRU14, Noor Azmi yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 172 undi mengalahkan calon Pas, Siti Rohaya Bakar dan calon PKR, Adam Asmunì.

Noor Azmi kemudiannya mengumumkan keluar BN dan menjadi ahli parlimen Bebas sebelum menyertai Bersatu.

Pada PRU15, Noor Azmi tidak dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi itu, sebaliknya Perikatan Nasional (PN) menamakan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad  di kerusi berkenaan.

Dua lagi calon bertanding di Parlimen Bagan Serai ialah calon Pakatan Harapan (PH), Siti Aishah Shaik Ismail dan calon Pejuang, Ahmad Luqman Ahmad Yahaya.

Zul Helmi berkelulusan Ijazah Sarjana Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Malaysia (UTM), merupakan bekas Ketua Penolong Pengarah Sains di Jabatan Tenaga Atom di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Beliau merupakan calon baharu anak tempatan yang diketengahkan oleh UMNO Bahagian Bagan Serai pada PRU15. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya