Calon Bebas Putrajaya mahu perjuang isu pengguna

Calon Bebas Putrajaya mahu perjuang isu pengguna

SAMSUDIN Mohamad Fauzi (kanan) antara calon Bebas Parlimen Putrajaya. - UTUSAN/MOHD FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Saya bukan cari populariti, sebaliknya mahu perjuangkan isu pengguna dan kos sara hidup yang kini membelenggu rakyat,” kata calon Bebas Parlimen P125 Putrajaya, Samsudin Mohamad Fauzi, 46.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur adalah antara dua calon Bebas yang bertanding di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.

Samsudin berkata, beliau akan menggunakan pengalamannya lebih 10 tahun dalam isu kepenggunaan dalam memperjuangkan nasib penjawat awam yang selama ini tidak diberi perhatian.

“Sebenarnya saya tidak berminat dengan politik, namun terpaksa kerana mahu membawa suara pengguna supaya lebih didengari,” katanya yang berasal dari Kluang, Johor ketika ditemui selepas penamaan calon di sini hari ini.

Seorang lagi calon bebas yang juga pengamal undang-undang, Lim Fice Bee, 44, berkata, beliau mahu memperjuangkan isu kesejahteraan rakyat dan kesihatan rakyat.

“Saya akan memanfaatkan sepenuhnya media sosial bagi menyedarkan masyarakat Putrajaya mengenai perlunya menjaga kesihatan mental,” katanya yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.

Samsudin dan Fice Bee melakar sejarah tersendiri apabila tampil buat julung kali sebagai calon Bebas di Putrajaya sejak pilihan raya umum kali pertama di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini pada 2004.

Penyertaan dua calon Bebas itu menyaksikan kerusi P125 berdepan persaingan enam penjuru masing-masing penyandang kerusi selama empat penggal, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN), Datuk Dr. Radzi Jidin (PN), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (PKR) dan Datuk Mohd Rosli Ramli (Pejuang).

Sementara itu, Tengku Adnan ketika ditemui berkata, beliau akui terkejut apabila dimaklumkan Putrajaya berdepan persaingan enam penjuru pada PRU-15.

“Tak pernah saya berdepan saingan sebanyak ini. Kebiasaanya saya berdepan lawan satu sama satu iaitu pada 2004, 2008 dan 2013 kecuali tiga penjuru pada 2018.

“Ia hak masing-masing kerana ini negara demokrasi dan mereka berhak menawarkan diri. Apa yang penting adalah berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Sementara itu, Radzi berkata, beliau merasakan masih banyak ruang yang boleh ditambah baik di Putrajaya dan yakin ia dapat dilaksanakan jika peluang itu diberikan kepada beliau jika dipilih sebagai Ahli Parlimen Putrajaya kelak.

Ditanya persiapannya berdepan saingan enam penjuru di kerusi Putrajaya, Radzi berkata, setiap calon perlu mempunyai fokus masing-masing dan perlu kenal kekuatan masing-masing.

“Dalam ‘perang’ ini, paling penting fokus kepada kekuatan kita. Berapa jumlah calon bertanding adalah lumrah dalam setiap kali pilihan raya. Kami dalam PN akan memastikan gerak kerja dapat dijalankan dengan baik sekali gus memastikan Putrajaya milik kita,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya