Calon bebas mahu menang, bukan sekadar pecah undi

Calon bebas mahu menang, bukan sekadar pecah undi

SEORANG penduduk melihat poster salah seorang calon bebas di Parlimen Batu, Siti Zabedah Kasim. Sebanyak 108 calon bebas bertanding pada PRU15. – UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kehadiran 108 calon bebas yang bertan­ding bagi merebut 222 kerusi Parlimen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mencetuskan 1,001 persoalan sama ada demi kemenangan untuk membe­la rakyat atau sekadar meraih populariti bagi memecah undi.

Malah peningkatan 84 calon Bebas berbanding 24 orang ketika PRU14 mencuri perhatian apabila keadaan itu sebelum-ini sering berlaku di Sabah dan Sarawak.

Menyoroti latar belakang semua calon, mereka terdiri dalam kalangan pempengaruh media sosial, bekas timbalan menteri, bekas pegawai kerajaan, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan peguam selain penyandang ahli parlimen yang tidak dicalonkan oleh parti pada PRU15.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, calon Bebas Parlimen Puchong, Uncle Kentang atau nama sebenarnya, Kuan Chee Heng menegaskan, beliau bertanding untuk menang dan bukan hanya suka-suka untuk memecah undi di kerusi yang ditandinginya itu.

Aktivis masyarakat itu ber­kata, keputusannya bertan­ding untuk mengubah minda pengundi agar tidak terlalu fokus kepada politik kepartian semata-mata jika ingin menguruskan negara.

Katanya, sesebuah kawasan parlimen memerlukan wakil rakyat yang bebas dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak yang akhirnya mendorong mereka lebih mengutamakan rakyat berbanding agenda tersurat atau tersirat parti.

“Pemimpin politik hanya mahu merebut jawatan dan sebab itu rakyat Malaysia kini sudah berpecah. Pilihan raya dulu ada Barisan Nasional dan DAP atau Pas sahaja, tapi sekarang macam-macam parti.

“Macam kamu wartawan, adakah ada YB tanya cukup makan minum ke tidak? Mereka hanya panggil jika mahu liputan berita, selain itu tiada. Jadi kami calon Bebas tiada kepentingan seperti ini melainkan untuk rakyat dan tiada niat memperalatkan rakyat.

“Walaupun tidak pernah bergelar YB, saya berkhidmat sepanjang masa,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau mengulas kemunculan 108 calon Bebas dalam PRU15 dan menyebabkan pertembungan antara empat hingga 10 penjuru.

Parlimen Batu misalnya merekodkan pertembungan 10 calon termasuk empat wakil Bebas seperti Nur Fathiah Syazwana; bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua; peguam Siti Zabedah Kasim dan seorang warga tempatan, Too Gao Lan.

Calon Bebas Parlimen Port Dickson, Abdul Rani Kulup Abdullah atau dikenali sebagai Ayahanda Rani pula menolak cakap-cakap bahawa calon Bebas dibayar sedangkan beliau bertanding menggunakan duit sendiri sekali gus membuktikan perjuangan ikhlas demi kepentingan rakyat.

“Tidak, saya tidak dipengaruhi mana-mana pihak, semua atas kesedaran Ayah untuk demi pengundi Port Dickson,” katanya.

Menurut Abdul Rani lagi, beliau yakin dapat menewaskan calon-calon lain termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Haron meskipun ada pihak memandangkan serong bahawa calon Bebas sukar meraih kemenangan apatah lagi di kubu kuat parti tertentu.

Jelasnya, keputusan sama ada beliau menyokong kerajaan selepas PRU15 sekiranya menjadi ahli parlimen akan ditentukan kelak sama ada parti pemerintah menepati agenda perjuangannya iaitu mengangkat kebajikan rakyat.

Sementara itu, calon Bebas Parlimen Putrajaya, Samsudin Mohamad Fauzi memberitahu, kehadiran mereka di pentas politik bagi menjadi penghubung antara rakyat dengan kerajaan walaupun agak mustahil untuk menguasai Dewan Rakyat atau mencapai majoriti mudah.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur menjelaskan, calon Bebas dilihat bersih daripada anasir atau persepsi perebutan kuasa apabila mereka bergerak tanpa dinaungi mana-mana pihak.

“Cakap-cakap sebegini kata sukar untuk menang hanya tanggapan sesetengah pihak tertentu, tetapi hakikatnya kami sebenarnya memperjuangkan suara rakyat dengan ikhlas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN