Bung Moktar yakin pertahan kerusi Parlimen dimenangi sejak 1999 - Utusan Malaysia

Bung Moktar yakin pertahan kerusi Parlimen dimenangi sejak 1999

BUNG Moktar Radin (kanan) dan Mazliwati Abdul Malek berhadapan persaingan satu lawan satu di kerusi Parlimen Kinabatangan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KINABATANGAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yakin akan terus mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan yang dimenangi sejak 1999.

Beliau berkata, kerusi Parlimen yang dimenangi tanpa tewas selama empat penggal itu diyakini akan dimenangi sekali lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bung Moktar akan berhadapan dengan persaingan satu lawan satu menentang calon Parti Warisan (Warisan), Mazliwati Abdul Malek di kerusi Parlimen Kinabatangan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, kerja keras jentera pilihan raya di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) pasti akan membuahkan hasil yang positif pada hari penentuan 19 November ini.

“Hanya ada dua calon di Kinabatangan iaitu saya dan Mazliwati daripada Warisan, tetapi saya yakin Barisan Nasional dapat mempertahankan kerusi ini sebab sambutan masyarakat yang kuat terhadap BN.

“Saya optimis dengan usaha jentera kita di semua PDM, saya cukup yakin kita dapat mempertahankan Kinabatangan,” katanya selepas penamaan calon PRU-15, semalam.

Menurutnya, beliau yakin BN Sabah akan menyumbang kepada kemenangan Barisan Nasional bagi membolehkan kerajaan Persekutuan yang lebih stabil dan kuat dibentuk selepas PRU-15.

Mengulas lanjut katanya, tindakan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bertanding menentang calon Barisan Nasional di Beluran tidak akan menjejaskan sokongan terhadap calon BN.

“Ini proses demokrasi, dia nak bertanding lawan Warisan dipersilakan. Namun, saya cukup yakin calon BN Beluran cukup mantap untuk mempertahankan kerusi Parlimen Beluran yang sebelum ini dimenangi di bawah tiket BN.

Malah, beliau yakin jentera Barisan Nasional akan menerima sokongan jentera Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selaras dengan kerjasama yang dibentuk antara kedua-dua gabungan berkenaan.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor juga akan berkempen bersama Barisan Nasional untuk memastikan kemenangan kedua-dua gabungan berkenaan pada PRU-15.

Mengenai manifesto BN Sabah, Bung Moktar berkata, manifesto itu akan dibentangkan selepas pembentangan manifesto Barisan Nasional Pusat.

Jelas beliau, kandungan utama manifesto khas BN Sabah termasuk meminta peruntukan kerajaan Persekutuan disalurkan terus kepada kerajaan negeri serta masukkan permintaan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) untuk Sabah seperti yang diumumkan sebelum ini.

Langkah sebegitu pastinya akan membantu mempercepatkan lagi proses pembangunan serta melonjakkan ekonomi Sabah.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya