Bicara Zahid ditangguh tahun depan - Utusan Malaysia

Bicara Zahid ditangguh tahun depan

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ditangguhkan oleh Mahkamah Tinggi di sini hingga tahun depan.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan perbicaraan didengar selama 21 hari iaitu pada 16 hingga 19 Januari, 30 dan 31 Januari, 7 hingga 9 Februari, 27 hingga 30 Mac, 10 hingga 13 April dan 15 hingga 18 Mei 2023.

Mahkamah melapangkan tarikh-tarikh perbicaraan hari ini, esok serta 9 dan 10 November selepas membenarkan permohonan peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid.

Hisyam memaklumkan, seorang saksi pembelaan daripada Bagan Datuk yang sepatutnya memberi keterangan hari ini, tidak hadir kerana tidak sihat.

Beliau turut memohon penangguhan sementara menunggu keputusan rayuan berhubung rakaman pernyataan saksi yang dijadualkan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 14 November ini.

Ahmad Zahid merayu keputusan Hakim Collin pada 9 Mei lalu yang menolak permohonan beliau untuk mendapatkan rakaman kenyataan 15 saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes berkenaan.

Antara penyataan saksi yang dimohon ialah rakaman kenyataan Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi yang juga saudara kandung Ahmad Zahid kerana mempunyai kaitan dengan pertuduhan ke-11 dan tanpa dokumen itu, pembelaan dalam dilema sama ada akan memanggilnya sebagai saksi atau tidak.

Mahkamah ketika itu berpendapat, sebarang pendedahan yang dibuat oleh saksi dalam keterangan mereka akan memprejudis dan menimbulkan rasa curiga dalam kalangan orang awam kerana keterangan tersebut dibuat dalam keadaan sulit.

“Mendedahkan keterangan sulit itu akan menyebabkan bakal-bakal saksi keberatan untuk memberi keterangan dan boleh mengganggu siasatan pada masa hadapan,” kata hakim itu.

Dalam prosiding hari ini, Hisyam menyatakan, keputusan rayuan tersebut penting bagi membantu pihak pembelaan menentukan jumlah dan urutan saksi-saksi pembelaan yang akan dipanggil memberi keterangan kelak.

“Kami memerlukan panduan daripada Mahkamah Rayuan sama ada pihak pembelan dibenar mendapatkan pernyataan saksi atau sebaliknya. Kami dalam dilema,” ujar Hisyam.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob tidak membantah penangguhan tersebut.

Hari ini, mahkamah sepatutnya mendengar prosiding soal balas saksi pembelaan keenam, Datuk Mohd. Kamal Abdullah, 65, yang juga Pegawai khas Ahmad Zahid.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan Presiden UMNO yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana yayasan untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya