Beberapa kawasan di Shah Alam, Klang banjir kilat

Beberapa kawasan di Shah Alam, Klang banjir kilat

BEBERAPA anggota bomba sedang memindahkan seorang warga emas yang terperangkap dalam banjir kilat di Kampung Idaman, Klang, Selangor.-UTUSAN/ MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Beberapa kawasan di Shah Alam dan Klang sekali lagi dilanda banjir kilat dalam tempoh dua hari kebelakangan ini.

Kali ini, banjir kilat berlaku di Kampung Budiman, Klang, Persiaran Mokhtar Dahari berdekatan kawasan perumahan di Alam Budiman dan Seksyen U6, Shah Alam.

Tinjauan di media sosial mendapati beberapa pengguna memuat naik beberapa keping gambar keadaan di sana, dengan dipercayai hujan sejak pukul 3 petang tadi.

Difahamkan, terdapat beberapa buah rumah serta sekolah yang dinaiki air setinggi 1 meter (m).

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, beberapa anggota bomba daripada balai bomba berdekatan tempat kejadian digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebanyak 31 anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar, Kota Anggerik, Sungai Pinang serta Ibu Pejabat Bomba Selangor digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kita juga menggunakan enam buah bot ke semua lokasi ini bagi memindahkan mangsa dari lokasi kejadian dan terdapat seorang mangsa iaitu warga emas di Kampung Budiman dipindahkan ke tempat selamat,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Kata Norazam, pihaknya serta pasukan polis sedang meninjau kesemua lokasi tersebut, namun setakat ini, tiada pemindahan mangsa secara besar-besaran dilakukan.

“Ini kerana, paras air di beberapa kawasan menunjukkan trend penurunan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya