Bakat, paras rupa sama penting - Yusof Haslam

Bakat, paras rupa sama penting – Yusof Haslam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah berkaliber, Datuk Yusof Haslam meletakkan bakat dan paras rupa sebagai elemen penting yang menjadi prasyarat pada seseorang untuk bergelar pelakon.

Katanya, kecantikan dan ketampanan pelakon adalah lumrah kerana penonton mahu melihat kesempurnaan di skrin, selain jalan cerita yang baik.

Bagaimanapun, perbahasan mengenai kecantikan adalah subjektif kerana sebagai pengarah dan penerbit yang sudah menghasilkan 40 filem, dia turut mendapatkan pandangan daripada pihak lain sebelum mengambil seseorang menjadi pelakon.

“Saya setuju dengan kenyataan Datuk A.Aida sebelum ini, malah saya juga akan mendapatkan pandangan isteri sebelum pilih pelakon.

“Filem pertama Bayangan Maut yang diterbitkan pada 1991, saya ambil Noorkumalasari sebagai pelakon yang dahulunya peragawati dan model yang cantik. Dalam Sembilu pula, saya pilih Erra Fazira sebab cantik dari segi cara dia berjalan dan bercakap, begitu juga Ziana Zain.

“Namun, bukan sebab cantik sahaja, mereka tetap perlu menjalani uji bakat untuk melihat kesesuaian watak,” katanya ketika diundang sebagai panel pada forum Antara Cantik Dan Bakat, Di Manakah Magis Pengukuh Kredibiliti.

Forum anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) itu berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dekat sini, semalam.

Ia turut membariskan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim dan gandingan pelakon senior, Noorkumalasari serta pelakon baharu, Sharifah Rose dan Hariz Hamdan sebagai panel.

Mengulas lanjut, Yusof yang berpengalaman selama 37 tahun dalam industri perfileman menafikan pelakon yang tidak memiliki paras rupa cantik mempunyai kurang peluang berbanding pelakon lain.

“Masing-masing ada peranan dalam industri kerana rezeki Allah SWT yang beri dan kita hanya tinggal buat sehabis baik dengan peluang yang diberikan,” katanya.

Disoal mengenai stesen televisyen yang cenderung memilih pelakon tertentu, Yusof berkata, perlu ada tolak ansur dan tidak hanya menyalahkan sebelah pihak sahaja.

Katanya, pihak televisyen juga perlu memenuhi permintaan penaja yang menginginkan pelakon terkenal dan popular kerana mereka menjual produk.

“Kita tidak boleh salahkan pelakon baharu sebab proses pembelajaran sekarang sangat cepat dan generasi muda mempunyai banyak peluang terbuka,” katanya.

Yusof turut menasihatkan kepada semua pelakon baharu supaya tidak mudah lemah semangat dengan segala kritikan diterima di media sosial.

Ledakan teknologi, kata pengarah yang menghasilkan drama bersiri popular seperti Gerak Khas dan Remang-Remang Kotaraya menyebabkan manusia bebas menjadi ‘wartawan’ dan pengkritik.

“Jangan putus asa kalau terima kritikan dan jangan pula bangga atau perasan bagus ketika menerima pujian yang melambung. Segala kritikan yang diterima hendaklah dikaji supaya dapat menjadi pelakon lebih baik pada masa akan datang,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN