Mural baharu hasil sentuhan seni pelukis jalanan terkenal, Abdulrashade menghiasi dinding Jalan Doraisamy, Chow Kit sebagai simbol perpaduan budaya dan semangat Malaysia yang diraikan menjelang Hari Kebangsaan ke-68.
Karya seni tajaan Glico Malaysia ini menggabungkan warisan Peranakan dengan elemen moden seperti fotografi dan papan selaju, melambangkan semangat belia serta kecintaan terhadap makanan tempatan.
Abdulrashade berkata, mural itu mewakili kisah peribadinya sebagai anak jati Pulau Pinang yang membesar dalam budaya Peranakan dan keluarga pemilik dusun durian.
“Sebagai pelukis jalanan Malaysia, saya bangga menghasilkan karya yang menggambarkan identiti bersama,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Glico Malaysia & Kluster Antarabangsa, Lee Yeen Theng berkata, karya seni itu menjadi pelengkap kepada mesej perpaduan dan warisan, sempena pelancaran dua perisa edisi terhad Pocky, Durian dan Ondeh-Ondeh menerusi kempen Berkongsi Keriangan Cita Rasa Warisan.
“Melalui seni mural dan inovasi makanan, kolaborasi ini menyatukan warisan serta minat generasi muda, menjadikannya satu bentuk penceritaan Malaysia yang segar, kreatif dan beridentiti tempatan,” katanya.
Perisa baharu ini dibungkus dalam rekaan bertemakan Peranakan, lengkap dengan ilustrasi fotorealistik dan penggunaan bahan asli sebagai penghargaan kepada kepelbagaian budaya negara.
Durian menampilkan salutan krim coklat durian daripada isi durian, manakala ondeh-ondeh hadir dengan coklat pandan dan taburan kelapa kering, membaluti biskut gula melaka yang mengimbau nostalgia rasa kuih tradisional.









