‘Atasi kekurangan sekolah di Semenyih’

‘Atasi kekurangan sekolah di Semenyih’

malaysia mengundi pru15
Malaysia Mengundi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Isu kekura­ngan sekolah di Semenyih harus menjadi keutamaan calon-calon yang bertanding dalam Parlimen Hulu Langat bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Rinching, Mohd. Razman Abdul Hamid ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, kepesatan pembangunan dan bilangan penduduk yang terlalu tinggi tidak seiring dengan kekura­ngan bilangan sekolah, mengakibatkan pelbagai masalah timbul.

Memberi contoh katanya, SK Bandar Rinching berdepan masalah kekurangan bilik darjah, hingga terpaksa menukar makmal menjadi kelas bagi memenuhi keperluan pelajar yang bertambah dari semasa ke semasa.

Malah, katanya ada ibu bapa yang terpaksa menghantar anak ke sekolah yang jauh dari rumah akibat kerana pihak sekolah tidak mampu menampung kepadatan pelajar yang terlalu tinggi.

“Di SK Bandar Rinching, ada 2,749 pelajar. Bagi darjah satu dan dua sahaja pun, sebanyak 11 bilik darjah diperuntukkan dan setiap bilik darjah terpaksa menampung seramai 42 pelajar minimum.

“SK Bandar Rinching ini terpaksa menampung pelajar dari kawasan Setia Ecohill 1 dan 2, Taman Pelangi, pekan Semenyih, Broga serta Bandar Tasik Kesuma. Ini mengakibatkan ada ibu bapa yang terpaksa menghantar anak ke sekolah lain kerana di sini sudah penuh,” katanya di sini, semalam.

Katanya, isu kepadatan sekolah bukan saja membelenggu SK Bandar Rinching, malah turut berlaku di beberapa sekolah lain sekitar Semenyih dan Beranang termasuk SK Semenyih, SK Kampung Rinching, SK Tasik Kesuma serta SK Beranang.

Masalah sama turut di­utarakan YDP PIBG SK Kampung Rinching, Mohd. Firdaus Hanafi Shamsudin yang berkata, ada ibu bapa yang tidak dapat mendaftarkan anak mereka ke SK Bandar Rinching, terpaksa menghantar anak masing-ma­sing bersekolah di SK Kampung Rinching.

“Apabila sekolah ini juga sudah penuh, maka mereka terpaksa pula mencari sekolah-sekolah lain sekitar Semenyih yang turut berdepan kepadatan pelajar yang terlalu tinggi.

“Untuk rekod, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dalam Parlimen Hulu Langat, statistik 2017 menunjukkan jumlah penduduka lebih 213,000. Harus diingat bahawa Semenyih kawasan yang pesat membangun, dan ini sekali gus menambahkan lagi bilangan penduduk di sini. Jadi, pemimpin di sini harus mengambil serius masalah sekolah dalam Parlimen ini,” katanya.

Parlimen Hulu Langat P101 merangkumi dua DUN iaitu Dusun Tua dan Semenyih. Dalam PRU14, sejumlah 102,363 pemilih berdaftar di Parlimen itu mengambil bahagian dalam proses pengundian.

Pada PRU14, Parlimen itu dimenangi wakil Parti Ama­nah Negara (Amanah), Datuk Hassanuddin Mohd. Yunus yang memperoleh jumlah undi 49,004, dengan majoriti 25,424.

Dalam PRU-15 kali ini, seramai enam calon termasuk seorang calon Bebas akan merebut kerusi tersebut. Ini termasuk Datuk Johan Abd. Aziz (BN-UMNO); Mohd. Sany Hamzan (PH-Ama­nah), Datuk Dr. Mohd. Radzi Abd. Latif (PN-Bersatu), Markiman Kobiran (GTA-Pejuang), Abdul Rahman Jaafar (Warisan) dan Mohamed Mustafa (Bebas). –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya