Angkasa harap KUSKOP dikekalkan

Angkasa harap KUSKOP dikekalkan

MOHAMAD Ali Hasan (tengah) ketika merasmikan CoopFarmasi-Koputra di Setia Alam, Shah Alam, Selangor. - FOTO/ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berharap kerajaan baharu mengekalkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) demi kelestarian ekonomi negara dan usahawan tempatan.

Ahli Lembaganya, Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, langkah seumpama itu perlu bagi membantu usahawan kecil dan menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ke arah lebih baik.

Katanya, penubuhan institusi koperasi yang sudah berusia 100 tahun hanya menghasilkan KDNK berjumlah tiga peratus setakat ini.

“Namun, wujudnya kementerian khusus berkaitan koperasi diyakini mampu menyumbang kepada dua angka seperti negara maju lain.

“Justeru, kita mengharapkan KUSKOP dapat diteruskan demi menjana ekonomi dan peluang pekerjaan kepada banyak pihak terutama di kawasan luar bandar,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan CoopFarmasi-Koputra di Setia Alam di sini, hari ini.

Jelas Mohamad Ali, Angkasa dan gerakan koperasi di seluruh negara berharap sektor itu diberi perhatian oleh kerajaan baharu.

“Koperasi merupakan institusi yang sentiasa relevan dalam menyumbang kepada kesejahteraan hidup biarpun mendepani pelbagai cabaran ekonomi.

“Setakat Jun lalu, terdapat lebih 14,000 koperasi dan keanggotaannya mencapai kira-kira 20 peratus rakyat Malaysia,” ujarnya.

Tambah beliau, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap memperkukuhkan lagi peranan dan sumbangan institusi koperasi kepada pembangunan sosioekonomi inklusif, adil serta berdaya saing .

“Sebagai gerakan koperasi yang diiktiraf kerajaan, Angkasa menyokong kepimpinan baharu dan akan terus memperkukuh hubungan kerjasama secara lebih erat.

“Kerajaan Perpaduan diharap membantu menyelesaikan keperluan hidup rakyat terutama usaha menangani peningkatan kos sara hidup,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya