PETALING JAYA: AirAsia X Bhd (AAX) mencatatkan untung bersih sebanyak RM25.1 juta bagi suku kelima tahun kewangan berakhir 30 September 2022, berbanding rugi bersih sebanyak RM652.5 juta pada suku sebelumnya.
Syarikat penerbangan jarak sederhana AirAsia Aviation Group itu merekodkan perolehan yang lebih rendah sebanyak RM100.1 juta pada suku tersebut berbanding RM107.2 juta pada suku keempat berikutan pengurangan hasil daripada segmen perkhidmatan kargo disebabkan oleh operasi penerbangan berjadual yang normal.
Dalam segmen lain, pemulihan merentas semua metrik utama telah meningkat dengan ketara kerana penerbangan penumpang dan sewa berjadual serta hasil sampingan telah menunjukkan pemulihan yang kukuh berbanding suku sebelumnya.
Syarikat mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM25.4 juta pada suku yang sama manakala keuntungan sebelum cukai berjumlah RM23.8 juta.
Dari segi operasi, syarikat melaporkan Faktor Muatan Penumpang (PLF) yang membanggakan sebanyak 73 peratus pada suku tersebut, kurang 10 mata peratusan daripada PLF sebelum Covid-19 iaitu 81 peratus pada 2019.
Syarikat penerbangan itu membawa sejumlah 80,385 penumpang dalam suku tinjauan berbanding 8,892 penumpang dalam tempoh dari April hingga Jun 2022.
Tambahnya, kapasiti tempat duduk meningkat kepada 110,615 pada suku tersebut daripada 27,521 pada suku sebelumnya apabila pasaran dan kekerapan tambahan diperkenalkan pada suku kelima.
Dalam tempoh tinjauan, jumlah sektor yang diterbangkan meningkat kepada 291 sektor daripada 226 sektor pada suku keempat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Benyamin Ismail berkata, AAX berada di landasan yang betul untuk pemulihannya walaupun terpaksa beroperasi dalam persekitaran mencabar yang disebabkan oleh harga bahan api yang tinggi dan ringgit yang lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
“Walaupun kami berhati-hati dengan persekitaran operasi yang mencabar, kami tetap yakin bahawa pemulihan syarikat berada di ufuk, jika tidak sudah dalam jangkauan kami.
“Kami tidak sabar-sabar untuk mengalu-alukan semua orang kembali bersama kami sambil bangkit untuk memenuhi permintaan yang kukuh untuk perjalanan udara jarak sederhana di seluruh Asia.
“Saya juga teruja untuk mengesahkan bahawa kami mengaktifkan semula lebih banyak pesawat untuk perkhidmatan, membawa balik kakitangan yang diberhentikan menjelang suku pertama tahun depan dan kini merekrut kru penerbangan baharu sekali lagi,” katanya. – UTUSAN










