Ahli perniagaan saman syarikat lebih RM5.9juta - Utusan Malaysia

Ahli perniagaan saman syarikat lebih RM5.9juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan memfailkan saman berasingan menuntut ganti rugi melebihi RM3.4 juta daripada dua buah syarikat pelaburan yang didakwa melanggar perjanjian berhubung bayaran pulangan tahunan dan kadar keuntungan.

Plaintif, Zaini Ibrahim, 52, memfailkan saman tersebut Rabu lalu di Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman, Tetuan Saiful, Roger & Co. Sesalinan saman-saman tersebut diperoleh media hari ini.

Menurut penyata tuntutan, plaintif menamakan Ace Holdings Berhad sebagai defendan tunggal dalam saman pertama manakala bagi saman kedua, Zaini menamakan Ace Credit (M) Sdn. Bhd. dan dua pengarahnya, Choong Chee Meng, 61, dan Chang Ai Nee, 51, selaku defendan pertama hingga ketiga.

Dalam saman pertama, Zaini memberitahu beliau telah memasuki perjanjian dengan Ace Holdings sekitar Ogos 2017 yang mana plaintif mendakwa defendan melalui ejennya menjanjikan pulangan tahunan sebanyak 12 peratus dan layak menebus sebanyak 2,000,000 unit saham selepas tempoh matang.

Plaintif telah menyerahkan empat keping cek bernilai RM500,000 setiap satu bagi tujuan tersebut.

Bagi pelaburan untuk tempoh 23 Ogos 2017 dan 22 Ogos lalu, plaintif mendakwa dia sepatutnya menerima pulangan tahunan berjumlah RM1,200,000 namun hanya menerima RM565,480.

Pada 11 Oktober lalu, Zaini melalui peguamnya menghantar surat tuntutan memohon bayaran pulangan tahunan yang sepatutnya diterima namun jawapan yang diterima melalui surat peguam defendan menyatakan tuntutan plaintif adalah pramatang dan Ace Holdings tidak bertanggungjawab untuk membuat bayaran balik.

Defendan juga mendakwa pulangan tahunan yang dinyatakan dalam ‘Prinsipal Terma & Syarat’ bukanlah sesuatu yang dijamin sebaliknya hanya anggaran yang dibuat berdasarkan unjuran.

Sehubungan itu plaintif mendakwa Ace Holdings telah melanggar ‘Prinsipal Terma & Syarat’ yang ditandatangani sebelum ini.

Sementara itu dalam saman kedua, Zaini mendakwa, ejen Ace Credit telah bertemu dengannya dan menawarkan pulangan pelaburan dengan kadar keuntungan 12 peratus sekitar April 2019. Ejen tersebut turut menyatakan Ace Credit mempunyai kaitan dengan Ace Holdings.

Plaintif kemudian telah mengeluarkan empat keping cek berjumlah RM2.5 juta bagi tujuan tersebut selepas menandatangani perjanjian pelaburan namun hanya menerima kadar keuntungan sebanyak RM210,410 bagi tempoh 22 Januari 2020 dan 31 Disember 2021.

Zaini kemudian menghantar surat tuntutan kepada ketiga-tiga defendan namun berdasarkan surat jawapan yang diterima daripada peguam defendan-defendan, plaintif dimaklumkan bahawa perjanjian pelaburan yang ditandatangani adalah perjanjian pemberian pinjaman wang.

Plaintif mendakwa, Ace Credit, Chee Meng dan Ai Nee telah melanggar perjanjian pelaburan yang ditandatangani mereka, memberikan penggayaan tidak wajar (unjust enrichment).

Ketiga-tiga defendan juga didakwa telah melakukan penipuan apabila memberikan gambaran sehingga Zaini mempercayai bahawa perjanjian yang dipersetujui adalah perjanjian pelaburan dan bukannya perjanjian pemberian pinjaman wang.

Sehubungan itu, plaintif secara keseluruhannya menuntut ganti rugi sebanyak RM5,940,816.56 dan perintah terhadap Ace Holdings untuk menebus 2,000,000 unit saham milik plaintif dalam masa lima hari dari tarikh perintah mahkamah.

Turut dimohon ialah ganti rugi teruk, teladan, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN