Adly ada kelebihan, Shahril kerja keras

Adly ada kelebihan, Shahril kerja keras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

5 SOALAN

Mukadimah

PERNAH menerajui kerajaan negeri selama 22 bulan sebagai Ketua Menteri Melaka memberi kelebihan kepada calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Alor Gajah, ADLY ZAHARI mendekati pengundi kerana lebih memahami isu rakyat.

Pada masa sama, ada ‘misi’ yang perlu dilaksanakan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu untuk merampas kembali kerusi yang dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas tiket PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Kepada wartawan Utusan Malaysia, MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI, Pengerusi PH Melaka itu dan calon Barisan Nasional (BN), SHAHRIL SUFIAN HAMDAN berkongsi pandangan terhadap potensi memenangi pertandingan empat penjuru di kerusi paling panas di Melaka.

UTUSAN: Bagaimana Yang Berhormat (YB) melihat potensi PH pada PRU15, sedangkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Barisan Nasional (BN) menang besar dengan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)?

ADLY: Kita tahu keputusan PRN di Alor Gajah banyak didorong peratusan keluar mengundi yang rendah. Contohnya sesetengah DUN seperti Gadek, jumlah keluar mengundi hanya 47 peratus.

Sudah pasti suasana ini berbeza dengan PRU15 kerana berdasarkan pertemuan dengan masyarakat di Alor Gajah, mereka bersedia untuk mengundi.

Saya menjangka peratusan keluar mengundi di kawasan ini akan mence­cah 80 peratus. Ini satu petunjuk yang baik kerana penyokong-penyokong tegar PH boleh memberi undi.

Kenapa kerusi Alor Gajah? Mengapa tidak di Hang Tuah Jaya memandangkan YB ada kelebihan di DUN Bukit Katil?

Dalam PH ada beberapa perkara asas menentukan kerusi-kerusi yang ditan­dingi setiap parti. Selama ini Parlimen Hang Tuah Jaya dimenangi PKR dan kita menghormati asas-asas perbincangan tersebut, maka kerusi kekal ditandingi PKR.

Antara kerusi yang masih boleh lagi dibincangkan adalah Alor Gajah yang dimenangi Bersatu ketika mewakili PH dalam PRU14. Majlis Presiden PH melihat Amanah harus diberi peluang, mungkin kerana kita memiliki rekod pentadbiran dan beberapa keputusan dalam pilihan raya sebelum ini.

YB bersetuju PRU15 adalah pertembungan di antara BN dan PH manakala Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) hanya ‘kacau daun’?

Saya tidak melihat mana-mana pihak kacau daun kerana ini demokrasi. Saya menghormati demokrasi dan semua pihak berhak bertanding. Memang saya akui persaingan dengan PN masih ada dan tidak dinafikan penyandangnya selaku bekas menteri dan penyandang kerusi pasti ada pengaruh tersendiri.

Bagaimanapun, saya melihat PN ba­nyak bergantung kepada jentera yang diwujudkan melalui kerjasama dengan Pas. Saya yakin pertembungan kali ini adalah antara PH dan BN, tetapi kita tidak memandang rendah potensi calon-calon lain. Dalam masa sama kita cuba beri yang terbaik agar diterima rakyat.

Sejauh mana undi pengundi 18 tahun membantu PH dalam PRU15?

Pengundi 18 tahun adalah pengundi kali pertama dan kelompok ini banyak bergantung kepada media-media baharu untuk mendapat maklumat dan lain-lain. Dalam konsep demokrasi pengundi membuat pilihan berdasarkan maklumat yang mereka peroleh daripada pelbagai sumber.

Saya sebagai salah seorang Pengerusi Jawatankuasa Tawaran Harapan melihat isu-isu berbangkit orang muda yang bimbang tentang kehidupan mereka.

Kalau mereka dapat pendidikan dan pendapatan yang baik, tetapi kos sara hidup tinggi, itu juga tidak dapat menyelesaikan masalah.

Apa tawaran YB kepada pengundi di Alor Gajah?

Perkara-perkara asas di Alor Gajah harus diberi keutamaan contohnya di DUN Asahan dan Gadek yang mana lokasi ini seharusnya mendapat infrastruktur lebih baik seperti jalan dan lampu jalan kerana melibatkan isu keselamatan orang ramai.

Selain itu, saliran-saliran perlu ditambah baik untuk penanam padi di Durian Tunggal kerana bencana banjir yang berlaku sangat menyukarkan mereka.

Saya juga mahu meneruskan hasrat menyambung apa yang dilakukan selama 22 bulan untuk menjadikan Alor Gajah sebagai bandar satelit. Tiga aspek diberi penekanan iaitu pendidikan, perumahan dan perindustrian.

 

UTUSAN: Bagaimana perjalanan kempen setakat ini?

SHAHRIL: Alhamdulillah dengan soko­ngan dan kekuatan jentera tempatan yang telah lama dipersiapkan sebelum pengumuman PRU15 lagi. Momentum agak positif tetapi saya tidak mahu sentiasa berada dalam keadaan selesa. Jadi saya akan bekerja keras sehingga dan selepas 19 November jika diberi mandat oleh rakyat Alor Gajah.

Tidak sukarkah menentang calon-calon ‘gergasi’, seorang bekas menteri dan penyandang kerusi manakala seorang lagi bekas Ketua Menteri Melaka?

Saya selalu katakan mereka sudah ada legasi di Alor Gajah berbanding saya. Bagaimanapun, saya memujuk pengundi-pengundi untuk melihat prestasi terdahulu, memandangkan mereka telah diberi peluang untuk berkhidmat kepada rakyat.

Saya tanya kepada rakyat secara terhormat dan rendah diri, adakah jumlah pekerjaan bertambah, apakah Alor Gajah mendapat pembangunan sewajarnya atau isu air semakin baik ketika mereka berkhidmat?

Jika jawapannya tidak ke arah yang positif, apa salahnya beri peluang kepada parti dan calon baharu untuk mengembalikan satu era yang lebih baik di Alor Gajah.

Alor Gajah adalah kerusi tradisi MCA. Bagaimanakah penerimaan masyarakat bukan Melayu apabila kerusi ini diberikan kepada calon UMNO?

Satu perkara yang saya belajar di sini adalah pemimpin-pemimpin tempatan berjiwa besar. Jentera kempen saya giat dibantu ketiga-ketiga komponen utama termasuk Friends of BN.

Walaupun saya hadir di sini sebagai calon, tetapi mereka melihat lambang dacing itu memberi isyarat jenis perjua­ngan, kebajikan dan pembangunan ekonomi untuk rakyat. Jentera MCA tidak ada masalah tapi secara umumnya saya hormati pendirian masyarakat Cina.

Pendirian mereka tidak boleh dipandang mudah kerana ada parti mengambil kesempatan seolah-olah mereka pasti akan undi parti A, undi parti B. Selain itu, terdapat juga pengundi-pe­ngundi bukan Melayu telah menzahirkan sokongan awal kepada BN dan saya ucapkan terima kasih.

Adakah wujud kelompok pengundi tertentu di Alor Gajah yang menjadi keutamaan BN?

Dalam pilihan raya ini semua undi sama nilainya. Saya tidak boleh kata hendak fokus kepada orang muda atau memilih kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tertentu untuk berkempen.

Parlimen ini mempunyai 93,000 pe­ngundi yang terdiri daripada pelbagai julat umur. Sebagai calon, wajib kita memberi keyakinan kepada semua. Strategi itu tidak perlulah saya terangkan, tetapi secara keseluruhannya kita mencari dan meraih undi daripada semua.

Apa lagi potensi Alor Gajah yang hendak diketengahkan sekiranya diberikan mandat?

Saya melihat rakyat Alor Gajah mahukan pembangunan dan peluang pekerjaan seperti mana di daerah-daerah lain. Saya selalu sebut mungkin nampak berseloroh tetapi ada seriusnya iaitu daerah ini berkorban untuk daerah lain menjadi kawasan tadahan air.

Apa salahnya kita bangunkan Alor Gajah menjadi satu tempat yang banyak pilihan dan peluang pekerjaan kepada rakyat. Ini satu potensi yang tidak diba­ngunkan sepenuhnya dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Selain itu, kita juga mahu memartabatkan kebudayaan dan adat yang ada di Alor Gajah. Kita perlu memartabatkan dan tunjukkan bahawa di sini adalah satu tempat yang sinonim dengan kebudayaan dan adat yang mendalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN