PETALING JAYA: Parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kini mempunyai tempoh 48 jam yang disifatkan kritikal untuk menambat hati pengundi termasuk mereka yang pertama kali mengundi apabila pendaftaran automatik dan undi 18 diperkenalkan.
Ketika ini, persaingan dilihat terbuka untuk semua gabungan tidak kira Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) walaupun masing-masing mendakwa sedang mendahului antara satu sama lain dalam siri kempen.
Dahulu keputusan pilihan raya umum agak mudah diramal kerana BN sentiasa mencatatkan kemenangan besar namun, selepas angin perubahan yang melanda politik negara pada PRU14 selain kemunculan gabungan baharu, keputusan PRU15 nanti adalah di luar jangkaan.
Berdasarkan keyakinan semasa parti-parti bertanding, mereka kini telah mula memainkan serangan psikologi dengan menyatakan senario sokongan di saat-saat akhir sebelum hari pengundian mula berpihak kepada mereka sekali gus berpeluang cerah untuk menang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, tiga gabungan besar yang dilihat kehadapan ketika ini iaitu BN, PH dan PN perlu menggunakan peluang di saat-saat akhir ini sebaik mungkin untuk menarik sokongan pengundi.
Katanya, antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah menarik sokongan pengundi atas pagar dan juga pengundi yang berumur 18 tahun kerana golongan berkenaan ketika ini dipercayai masih ragu-ragu untuk memilih parti mana yang ingin disokong bagi membentuk kerajaan selepas PRU15.
“Dalam tempoh 48 jam terakhir sebelum hari pengundian Sabtu ini, parti-parti politik perlu membuat pecutan akhir untuk meraih sokongan pengundi terutamanya mereka yang atas pagar dan pengundi muda termasuk pelajar-pelajar IPT yang pulang ke kampung.
“Penerangan yang jelas juga perlu diberikan kepada dua golongan ini bagi memastikan undi mereka solid. Parti politik juga perlu memberikan fokus kepada tawaran yang ingin diberikan kepada rakyat dan bukan bersifat kepada agenda untuk memburukan lawan masing-masing.
“Sekarang semua parti dilihat lebih kepada usaha untuk membina persepsi buruk terhadap lawan dan bukannya membina kekuatan sendiri. Saya juga menjangkakan dalam tempoh dua hari ini tiada perubahan besar dengan usaha menjatuhkan lawan akan diteruskan,” katanya ketika dihubungi.
Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Oktober 2022 lalu, lebih 21 juta pengundi berdaftar dijangka menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada PRU15 Sabtu ini
DPPR bagi PRU15 ini mengandungi seramai 21,173,638 orang pemilih terdiri 20,905,366 pengundi biasa, 146,737 tentera serta pasangan, 118,794 polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Kelmarin, sebanyak 94.72 peratus atau 212,961 pengundi melibatkan anggota keselamatan dan pasangan telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi PRU15, dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, di Sabah.
Ditanya mengenai polemik yang melanda BN di saat-saat akhir PRU15, Mohd. Izani berkata, percanggahan pendapat dan berbalas kenyataan antara pemimpin BN sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada parti itu pada PRU15 kali ini.
“Saya percaya musuh utama BN adalah dalam kalangan mereka sendiri. Mereka tiada keharmonian dan tidak fokus mendepani PRU15, umum tahu selepas ini akan ada pemilihan UMNO dan kita sudah nampak bibit-bibit untuk menentukan hala tuju parti itu nanti,” katanya. – UTUSAN










