KLANG: Struktur jalan raya di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia di sini perlu diperbaiki segera kerana mengalami masalah berlubang sehingga menyukarkan penduduk sejak 15 tahun lalu.
Menurut penduduk Johan Setia yang ingin dikenali sebagai Abdul Karim Mat, 56, kerosakan jalan raya itu menyebabkan ibu bapa berasa tidak selesa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
“Disebabkan jalan raya yang berlubang dan rosak, kenderaan yang lalu lalang terpaksa bergerak perlahan terutamanya pada waktu puncak. Ini menyebabkan tempoh masa mengambil anak-anak dari sekolah menjadi panjang,” katanya.
Dia berkata demikian semasa lawatan oleh calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Raja, D. Kajendran di lokasi tersebut hari ini.
Sementara itu Kajendran ketika ditemui berkata, sejak kawasan Parlimen Kota Raja bertukar wakil rakyat 15 tahun lalu, keadaan jalan raya di hadapan sekolah berkenaan kekal tidak diperbaiki dan diabaikan.
“Sepatutnya jalan ini diselenggara dari semasa ke semasa oleh pihak berkuasa bukannya membiarkan ia rosak tanpa diperbaiki. Saya bimbang kemalangan berlaku apabila banyak memperlahankan kereta bagi mengelak lubang besar sedia ada,” katanya.
Jelasnya lagi, beliau akan menyelesaikan masalah tersebut jika diberi mandat oleh pengundi Parlimen Kota Raja pada hari pembuangan undi Sabtu ini. –UTUSAN