100 pesawah terkesan teruk, kerugian hampir RM200,000

100 pesawah terkesan teruk, kerugian hampir RM200,000

PESAWAH di Kampung Bakong melihat sistem saliran di Sungai Gial, Arau, Perlis yang terganggu disebabkan oleh pembinaan jalan pintasan sejak Mac lalu. - FOTO/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Lebih 100 orang pesawah di sini runsing apabila tanaman padi yang diusahakan terjejas disebabkan projek pembinaan jalan pintasan di Kampung Bakong di sini yang menyebabkan air sungai melimpah masuk.

Tanaman padi pesawah terlibat yang dikatakan terjejas itu adalah melibatkan kawasan seluas 700 relung (201.44 hektar) dengan nilai kerugian benih padi berjumlah RM196,000.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pesawah, Suhaimi Saleh, 44, berkata, sebelum projek pembinaan jalan pintasan itu bermula pada Mac lalu, penduduk tidak menghadapi sebarang masalah walaupun hujan lebat berterusan di kawasan itu.

“Tetapi selepas projek ini bermula, tanaman padi kami sering kali terjejas jika hujan dalam tempoh satu jam di mana air di Sungai Gial akan melimpah dan menjejaskan tanaman kami.

ROZABIL Abd. Rahman (dua dari kanan) berbincang dengan pesawah di Kampung Bakong yang mengalami kerugian disebabkan oleh limpahan air yang memasuki kawasan tanaman padi mereka disebabkan oleh pembinaan jalan pintasan. – FOTO/ASYRAF MUHAMMAD

“Untuk tahun ini sahaja, sudah lima kali pesawah terpaksa menabur benih padi apabila air hujan melimpah masuk ke petak tanaman,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pesawah, Ismail Rahim, 60, berkata, aliran air di Sungai Gial turut terganggu apabila tidak pernah diselenggara dan ditum­buhi pokok-pokok liar yang menyebabkan limpahan ke tanaman padi sewaktu hujan lebat.

Katanya, pesawah juga telah beberapa kali membawa perma­salahan itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk tindakan selanjutnya namun masih tiada maklum balas positif sehingga kini.

“Kami hanya mahu menuntut ganti rugi memandangkan sudah beberapa kali terpaksa menabur semula benih dise­bab­kan limpahan air masuk ke dalam sawah,” katanya.

Dalam pada itu, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Arau, Datuk Rozabil Abd. Rahman yang berkesempatan turun padang bagi meninjau permasalahan itu berkata, pihaknya akan berhubung dengan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melihat permasalahan itu yang menimbulkan keresahan pesawah di sana.

Katanya, beliau akan berusaha bagi memastikan permasalahan itu dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.

“Satu masalah di sini adalah disebabkan oleh saliran air yang terganggu disebabkan oleh pembinaan jalan pintasan ini dan satu lagi melibatkan kunci air JPS. Kita akan hubungi kedua pihak untuk selesaikan permasalahan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya