Wang simpanan wanita lesap RM1.44 juta ditipu kekasih menyamar jurutera - Utusan Malaysia

Wang simpanan wanita lesap RM1.44 juta ditipu kekasih menyamar jurutera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cinta seorang wanita terhadap lelaki yang bekerja sebagai jurutera di New Zealand mengundang padah apabila wang simpananya bernilai RM1.44 juta lesap ditipu kekasihnya.

Wanita yang bekerja sendiri berusia 54 tahun itu dikatakan telah berkenalan dengan seorang lelaki warga asing melalui Facebook.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa kemudian meneruskan perkenalan dengan lelaki terbabit melalui aplikasi WhatsApp menggunakan nombor telefon antarabangsa.

Kata beliau, sepanjang tempoh perkenalan itu, mangsa memaklumkan tidak pernah berjumpa dengan suspek dan mangsa diyakinkan bahawa lelaki berkenaan bekerja sebagai jurutera di New Zealand.

“Suspek dikatakan meminta mangsa mendahulukan wangnya membeli bahan mentah bagi projek dijalankan.

“Mangsa yang percaya dengan kata-kata suspek kemudian memasukkan wang berjumlah RM1.44 juta ke dalam empat akaun bank berbeza menerusi 37 transaksi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Mohamad Fakhrudin, wanita itu kemudian menerima panggilan dari sebuah syarikat perkhidmatan penghantaran antarabangsa yang menyatakan terdapat barang milik mangsa dikirimkan oleh suspek.

Kata beliau, suspek kemudian menjanjikan akan bertemu mangsa dengan membawa beg berisi wang RM19.8 juta (AS$4.2 juta) kepada wanita berkenaan, namun dengan syarat perlu mempunyai sijil pemilikan asal.

“Jika tidak, mangsa perlu membayar yuran simpanan sebanyak RM170,000. Namun, wanita itu menolak kerana tiada wang,” jelasnya.

Kata beliau, wanita itu sedar ditipu selepas suspek meminta wang tambahan lagi bagi menampung pembelian bahan mentah projek tidak diketahui oleh mangsa.

“Susulan maklumat diterima, sebanyak tiga lelaki warga Afrika berusia antara 35 hingga 48 tahun yang dipercayai terbabit dengan kes itu di sebuah restoran di OUG Parklane, Kuala Lumpur, pada 14 Oktober lalu ditahan.

“Hasil soal siasat awal dilakukan terhadap suspek mendapati mereka datang ke negara ini sejak 2019 menggunakan pas Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dan tidak bekerja,” katanya.

Tambah Mohamad Fakhrudin, kesemua suspek berkenaan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya