UMNO tidak hormat Perlembagaan, belakangkan Agong - Utusan Malaysia

UMNO tidak hormat Perlembagaan, belakangkan Agong

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengenai pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah tidak menghormati Perlembagaan dan membelakangkan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kenyataan terbuka mengenai pembubaran Parlimen dikeluarkan sebelum Perdana Menteri menghadap untuk mendapat perkenan Seri Paduka.

“Bukankah ini satu tindakan derhaka terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong?

“Kata kunci dalam kenyataan UMNO mesti diadakan dalam masa terdekat dan pilihan raya diadakan tahun ini juga iaitu dalam masa tiga bulan seolah-olah satu prasyarat yang telah ditetapkan terhadap Seri Paduka tanpa mengambil kira Perkara 40(1) yang perlu dibaca bersekali dengan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan.

“UMNO perlu diingatkan mereka hanya mempunyai 38 ahli Dewan Rakyat daripada jumlah 222 orang yang membentuk Parlimen Malaysia.

“Oleh itu, UMNO tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya seolah-olah mereka masih merupakan parti majoriti terbesar di Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perkara 40 (1) Perlembagaan menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri.

Bagaimanapun, Perkara 40(2) pula memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya untuk melantik seorang Perdana Menteri, tidak memperkenan permintaan pembubaran Parlimen dan meminta mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan.

Anthony Loke berkata, perkara itu amat jelas memperuntukkan kuasa kepada Seri Paduka untuk tidak memperkenan permintaan pembubaran Parlimen.

“Namun, DAP akan menjunjung dan menghormati sepenuhnya keputusan Seri Paduka dalam soal membubarkan Parlimen selaras dengan prinsip dan peruntukan dalam Perlembagaan.

“DAP menaruh kepercayaan bahawa Seri Paduka akan menggunakan budi bicara dan kebijaksanaan untuk membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Mesyuarat UMNO malam tadi sepakat memutuskan pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan pada tahun ini juga.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung berkata, mengadakan pilihan raya sewaktu banjir seperti yang diramal akan meningkatkan kos sebanyak RM100 juta.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa partinya telah bersiap sedia dengan 80 peratus struktur jentera PKR dilengkapkan selain jumlah sukarelawan berdaftar sudah mencecah 14,000 orang.

“Saya terkilan dengan keputusan UMNO dan BN (Barisan Nasional) yang degil mahu mengadakan pilihan raya walaupun banjir berlaku.

“Sikap sebegini memadai untuk kita sedar sejauh mana nilai nyawa dan harta kita di mata politikus ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya