PADANG TERAP: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, waktu untuk parti itu bekerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) bersama Pas atau bergerak solo ditentukan apabila tiba masanya.
Beliau berkata, sebarang kemungkinan boleh berlaku sama ada lambat atau dalam masa terdekat bagi menentukan hala tuju mereka menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Masa akan menentukan nanti. Sama ada serta-merta atau pun lama sikit. Kalau dua tiga hari ini ke, lima hari ke, seminggu ke, apa-apa pun masa-masa ini lah yang akan berlaku,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Sumbangan Kepada Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di sini, hari ini.
Ketika ditanya bayangan UMNO seakan-akan kembali membuka rundingan bersama Pas, Mahdzir berkata, sebarang perkara yang diputuskan untuk menghadapi pilihan raya itu adalah untuk kebaikan bersama.
“Jadi dalam pilihan raya ini, ada dua sahaja (situasi) iaitu Barisan Nasional (BN) sama ada pergi secara solo atau pergi atas permuafakatan yang disebut MN.
“Justifikasi daripada apa benda yang berlaku di sekeliling diambil kira untuk nak mewajarkan kepada apa benda yang akan diputuskan itu, sudah tentulah mengambil semua percaturan politik semasa,” katanya.
Tambah beliau, faktor itu disebabkan mana-mana organisasi politik atau pemimpin parti mempunyai matlamat akhir untuk menang dalam setiap pilihan raya.
Dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata, ada berita baik yang akan disampaikan pada Bajet 2023 melibatkan kebajikan golongan pekebun kecil
Katanya, terdapat penambahbaikan termasuk untuk Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) dan perkara lain yang akan diperincikan melalui pembentangan bajet tersebut. – UTUSAN