UIA, UM muncul juara Debat Diraja 

UIA, UM muncul juara Debat Diraja 

PESERTA UM bergambar bersama hadiah yang dimenangi selepas muncul Johan kategori Bahasa Inggeris dalam Debat Diraja Antara IPT 2022 di UniSZA, Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS : Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Malaya (UM) muncul juara bagi dua kategori dalam Debat Diraja Antara Institut Pengajian Tinggi 2022 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.

UIA muncul juara bagi kategori Bahasa Melayu manakala UM juara bagi kategori Bahasa Inggeris membolehkan setiap kumpulan  membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000, piala dan sijil.

Peserta UIA diwakili Nur Syahirah Balqis Shahrulnizam, 20, Muhamad Ilham Hafiz Azmi, 22, Muhammad Luqman Ismail Zawawi, 22, dan Muhammad ‘Aqil Mujahid Mukhtar, 21.

Peserta UM pula terdiri daripada Kuhan Karttikeyn a/l Ravichandran, 21; Danesh Ram Aggarwal, 24;  Muhyuddin Ahsan Sultan Askin, 20, dan Catherine Alicia Nathan, 22.

Naib johan pula dimenangi oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi kategori Bahasa Inggeris manakala naib johan kategori Bahasa Melayu dimenangi oleh peserta dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan setiap kumpulan membawa pulang wang tunai RM3,000, piala dan sijil.

Semua hadiah tersebut disampaikan oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sebanyak 53 pasukan dari 24 IPT di seluruh Malaysia menyertai debat tersebut yang diadakan secara dalam talian bagi pusingan awal dan akhir, manakala pertandingan secara bersemuka bagi pusingan separuh akhir dan akhir diadakan bermula semalam dan berakhir hari ini.

Debat Diraja ini mempertandingkan tiga kategori iaitu Kategori Utama Bahasa Melayu, Kategori Utama Bahasa Inggeris dan Kategori Muda Bahasa Melayu yang membabitkan 213 peserta. 

Terdahulu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata, pertandingan debat antara universiti awam pertama yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan mula diperkenalkan pada tahun 1995 yang menggunakan format debat ala parlimen.

“Program ini telah menjadi salah satu program “signature” Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan sangat penting dalam usaha JPT untuk melahirkan para mahasiswa yang cemerlang bukan sahaja daripada segi akademik malah sahsiah dan berketerampilan. 

“Objektif pengajuran Debat Diraja Antara IPT ini adalah medan pertandingan debat utama dianjurkan di peringkat nasional yang mempertemukan barisan pendebat-pendebat utama dari semua universiti awam dan universiti swasta terpilih. 

“Selain itu, program ini mengangkat debat sebagai platform penting dalam menerapkan nilai dan sikap positif dari segi intelek, akademik dan etika dalam kalangan mahasiswa IPT sekaligus membudayakan amalan berfikir secara kritis dan analitikal dalam kalangan mahasiswa tentang isu-isu semasa berasaskan tradisi argumentasi, perbincangan perbahasan, kajian dan penganalisaan fakta yang boleh dipertanggungjawabkan,” katanya.

Antara objektif lain adalah untuk mengiktiraf pencapaian mahasiswa dalam bidang debat dan orator, sekaligus mengangkat usaha pembudayaan debat dan orator di peringkat universiti

Penganjuran kali ini melibatkan kerjasama antara JPT, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) serta UniSZA selaku tuan rumah pertandingan. Dewan Bahasa dan Pustaka juga menjadi rakan sinergi penganjuran Pertandingan Debat Diraja antara IPT pada tahun ini.  –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN