Pak Andam bangga berbusana tradisi ketika menjalankan tugas

Pak Andam bangga berbusana tradisi ketika menjalankan tugas

Megat Mat Akhir Megat Mohamad berbusana Baju Melayu lengkap saat melaksanakan tugas sebagai Pak Andam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lelaki ini tidak pernah merasa janggal berbusana lengkap Baju Melayu tradisional dan bersongkok setiap kali melangkah ke majlis untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai Pak Andam.

Gayanya yang kemas itu seringkali mencuri tumpuan hadirin.

Bagi Megat Mat Akhir Megat Mohamad, 57, busana kebangsaan yang terletak kemas di tubuhnya bukan sekadar pakaian semata-mata.

Ia menjadi simbol warisan, lambang jati diri, malah penegasan tentang nilai seorang lelaki sejati.

Sejak mula menceburkan diri dalam dunia solekan dan andaman pada tahun 1985, beliau sudah terbiasa tampil dengan Baju Melayu tradisional hampir setiap kali menjalankan tugas.

Bapa kepada lapan anak itu menganggap amalan itu sebagai tanda penghargaan terhadap seni warisan masyarakat Melayu yang harus terus dijaga.

Baginya, ia bukanlah sekadar pakaian yang digayakan pada hari-hari tertentu, sebaliknya satu perlambangan warisan seni yang terus dipelihara.

“Baju Melayu bukan sekadar pakaian, tetapi lambang jati diri dan kekuatan nilai murni yang diwarisi daripada generasi terdahulu.

“Apabila saya kenakan Baju Melayu lengkap dengan samping dan songkok, ia memberi saya semangat dan keyakinan.

“Malah, pelanggan juga menerima baik dan menghargai seni budaya yang saya bawa bersama ketika bekerja,” katanya.

Bukan sahaja songkok, malah kadangkala dia turut menyarungkan tengkolok ketika menggalas tugasnya. Megat Mat Akhir sentiasa menyediakan koleksi songkok dan tengkolok di dalam kereta, sedia dipilih mengikut kehendak pengantin dan keluarga.

Baginya, penghayatan terhadap pakaian tradisional mesti bermula dari rumah. Penting menerapkan didikan kepada anak-anak untuk berbangga menggayakan busana warisan bangsa supaya identiti Melayu tidak pupus ditelan arus fesyen moden.

menjadi pilihan raja sehari yang mahukan sentuhan klasik.

SENTUHAN TRADISIONAL MEMIKAT HATI

Keistimewaan lelaki ini bukan hanya terletak pada penampilannya yang setia dengan Baju Melayu ketika bertugas.

Lebih daripada itu, kepakarannya dalam mengekalkan teknik tradisional seperti lilitan sampin dan tengkolok gaya klasik menjadi kelebihan tersendiri yang terus dihargai hingga ke hari ini.

Setiap ikatan sampin, tengkolok dan keris disusun dengan penuh teliti, seolah-olah menyulam wibawa dan keanggunan pengantin pada hari bersejarah mereka.

Baginya, pakaian pengantin Melayu bukan sekadar hiasan luaran, tetapi lengkap dengan simbolik maruah, kesopanan dan keindahan adat yang luhur.

PILIHAN PENGANTIN LUAR NEGARA

Selain sering mendapat tempahan daripada kaum Melayu, sentuhan tradisional Megat Mat Akhir turut menerima permintaan daripada kaum India dan Cina.

Mereka tertarik dengan hasil kerja tangannya yang halus serta kemampuannya menyesuaikan solekan dengan cita rasa pelanggan tanpa menghilangkan seri semula jadi mereka.

Lebih membanggakan, sentuhannya berjaya menambat hati pelanggan dari luar negara.

“Sebelum ini, saya juga pernah menerima tempahan daripada seorang lelaki warga England yang sanggup terbang ke Malaysia, hanya semata-mata ingin merasai pengalaman disolek.

“Pengalaman itu, sekali gus menjadi antara kenangan paling berharga dalam kerjaya saya kerana ia membuktikan seni solekan tradisional Melayu mampu menembusi sempadan budaya dan benua,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN