Tolak lakukan hubungan intim, suami ugut tikam perut isteri - Utusan Malaysia

Tolak lakukan hubungan intim, suami ugut tikam perut isteri

MOHD. Faidros Mustafa mengaku bersalah mengugut untuk menikam perut isterinya ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hanya kerana si isteri menolak melakukan hubungan intim, seorang suami sanggup mengugut untuk menikam wanita itu dan memaksanya mengambil dadah jenis syabu, dalam kejadian pada Mei lalu.

Tertuduh, Mohd. Faidros Mustafa, 41, dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Izwan Mohamed Noh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh dalam suatu perkahwinan yang sah telah menyebabkan ketakutan kecederaan kepada isterinya yang berusia 32 tahun untuk mengadakan persetubuhan dengannya.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 9 malam di sebuah rumah beralamat di Balai Panjang dalam daerah Melaka Tengah pada 9 Mei 2022.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah mengugut untuk menikam perut isterinya sekiranya wanita berkenaan enggan menuruti kehendaknya.

Tertuduh yang mempunyai dua orang anak turut memaksa isterinya mengambil syabu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan telah insaf, manakala tempoh penjara diambil kira dari tarikh ditangkap iaitu 14 Ogos 2022.

Bagaimanapun, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Mahkamah kemudian menjatuhi penjara lapan bulan dari tarikh tertuduh ditangkap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN