UNTUK penerbit baharu, apa nasihat untuk mereka?
Asasnya, cari pengalaman. Apabila kau banyak buat susunan dan bekerja dengan penerbit lain, kau akan dapat pengalaman itu. Kemudian, perlu mula bina jenama. Di Malaysia, biasanya kalau nak bertahan, kau perlu dapat satu lagu hit, kemudian perlu kekalkan (momentum). Itu saja. Kita susah nak jangka apa-apa dalam industri ini. Kadang-kadang kita dengar lagu, macam sama dengan yang lain. Kita tak tahu lagu itu boleh hit. Aku jenis yang suka cari benda (baharu) untuk ditawarkan. Label banyak tak suka macam itu, mereka nak main selamat. Apabila kau nak tawar benda baharu, kau nak ubah industri. Tapi, selagi kita suap benda sama, tak berubahlah.
Macam mana nak ubah keadaan industri sekarang?
Ramai berpendapat, lagu-lagu yang menang Anugerah Juara Lagu (AJL) atau Anugerah Industri Muzik (AIM) ini akan ubah warna industri. Tapi, aku rasa selalu berpendapat yang TV dan radio ada peranan lebih besar dalam memperbanyak program muzik yang tidak tertumpu kepada konsep ‘mencari penyanyi’. Tik Tok pula ada peranan membantu pertumbuhan penyanyi. Namun, untuk yang berpeluang jadi juri atau terlibat dalam pertandingan ini, itu juga peluang untuk ubah industri. Apabila kita pilih pemenang yang lain daripada kebiasaan. Aku ada kecenderungan apabila menjuri pertandingan ini, nak cari yang berbeza. Bukan lagu balada yang biasa ada (dalam industri).
Macam mana nak cari keseimbangan antara kreatif dengan komersial?
Keseimbangan itu perlu ada untuk jual produk kita. Bila kita ada pengalaman, kita tahu sendiri keseimbangan itu. Kau dengar, rasa tak sedap. Maknanya dari segi komersial, ada yang kurang. Kau kena ada sudut pandang daripada pendengar juga.
Macam mana seorang penerbit nak dapatkan sudut pandang pendengar?
Aku dengar radio dan baca komen di Youtube. Kebanyakan masa dalam kereta aku akan dengar radio dan belajar dari pendapat orang ramai.
Dari segi masa untuk keluarkan satu-satu produk, macam mana nak tentukan? Sejujurnya, aku tak banyak fikir pasal pasaran produk aku. Melainkan ada permintaan daripada klien dan label yang pentingkan keeimbangan pasaran dengan kreatif. Mungkin ramai yang akan salahkan promosi dan masa terbitan (apabila produk tak berjaya) tapi bagi aku, yakin apa yang dibuat itu sedap sudah memadai.
Tentang Hujan, macam mana persiapan konsert Rumah Kita? Setakat ini, aku sendiri sudah mula buat susunan untuk konsert itu. Kali ini, memang set yang kami akan bawa lain dari yang sebelum ini. Ini konsert terbesar yang Hujan pernah buat. Kami ada lebih kurang 38 lagu yang akan dibawa dan ada empat segmen. Ada segmen orkestra penuh, ada akustik. Idea ini kami dah lama simpan dan ini peluang terbaik untuk kami bawa set tersebut. Memang sesuai dengan tempat, dalam stadium dan perlu ada ramai penonton untuk susunan yang besar macam ini. Konsert ini memang ideanya antarabangsa. Dari segi produksi, visual, memang ini konsert terbesar Hujan pernah buat. Aku sebenarnya nak kawan-kawan industri, kugiran baharu untuk datang dan tengok macam mana produksi konsert. Ramai yang fikir konsert ini biasa saja, nyanyi lagu-lagu dalam koleksi, tapi ini konsert yang ada konsep. Bukan nak berlagak tapi kami nak bagi inspirasi.
Sekarang ini Hujan dalam fasa mana?
Kami memang dah putuskan untuk berhenti dulu keluarkan barang baharu. Tapi dalam arkib, Noh dah buat banyak lagu. Aku dah dengar dan ini bunyi yang baharu untuk Hujan. Ada bunyi rock n roll dengan horns section. Tapi aku cari masa yang sesuai untuk keluarkan. Sebelum ini, macam album Jika Sempat, aku sangat suka tapi masa keluar itu tak sesuai. Banyak juga lagu yang kami buat, aku rasa dah bagus tapi bila bawa live peminat tak berapa suka. Mereka masih minta lagu lama. Peminat masih tersangkut lagi (dengan yang lama) tapi kami tidak. Ini memang masalah (yang dihadapi) banyak kugiran.
Nampak macam ada Indoinvasion baharu. Hujan pernah hadapi dulu, sekarang macam mana?
Kami tak fikir sangat cuma yang aku nampak sekarang, terlalu banyak show. Aku sendiri peminat Gigi tapi tarikh persembahan kami sama. Agak sedih juga sebab ada artis (Indonesia) yang datang, tak banyak lagu hit pun. Dewa 19 okey sebab pustaka lagu dia memang banyak. Kalau macam itu, baik buat satu festival, panggil semua datang. Kita tak eksport, banyak import. Artis Malaysia yang pergi sana, bukan mereka yang panggil. Kita buat semua sendiri – duit sendiri, cari kenalan sendiri. Hasilnya pun tak ada sangat. Setakat boleh cerita, kita dah jelajah ke sana. Yang paling berjaya di Indonesia sekarang, Masdo saja. Itu yang betul-betul breakthrough secara organik. Yang sokong Masdo sekarang peminat di Indonesia. Kami sendiri masa pergi sana, banyak kawan-kawan saja. Peminat umum, mereka dengar macam itu saja. Kebanyakan akan kata, mereka masih ingat Search dan Slam. Itu tanda aras mereka. Artis arus perdana belum nampak tercabar dengan kemunculan artis independen, beza dengan zaman Hujan dulu. Kenapa? Mereka dah boleh buat duit. Strim bagi pendapatan tinggi, guna teknik tular. Jadi, mereka nak peduli apa pada artis independen?










